This website is bilingual

Muslim Menyembah Syaitan?

Posted:

Edited:

Author:

Melayu | English

Salah satu tuduhan tidak berasas yang kadang-kadang dibuat pendakwah Kristian (missionaries) terhadap umat Islam adalah bahawa kita menyembah syaitan. Tuduhan sebegini bukan sahaja tidak benar tetapi juga bercanggah dengan ajaran dan inti pati Islam, yang berakar pada penyembahan kepada Allah Yang Maha Esa. Mari kita telusuri bagaimana tuduhan ini tidak berasas sama sekali.

Pertimbangkan soalan yang mudah tetapi mendalam ini: Apakah jenis syaitan yang mengajar manusia untuk melakukan kebaikan dan bertindak secara adil?

Dalam Islam, Allah memerintahkan keadilan, belas kasihan, dan kebaikan, seperti yang dilihat dalam ayat berikut:

Surah An-Nisa 4:36

“Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran yang dekat dan jiran yang jauh, teman sejawat, musafir (yang memerlukan pertolongan), dan hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membanggakan diri.”

Ajaran-ajaran ini jelas menggalakkan kebaikan dan tanggungjawab sosial, yang secara langsung bercanggah dengan sifat syaitan. Jika ajaran Islam membimbing umat untuk mengamalkan kebaikan, bagaimana mungkin ia boleh dikaitkan dengan penyembahan kepada syaitan?

Satu dakwaan yang biasa adalah bahawa idea umat Islam menyembah syaitan timbul kerana ketakutan yang dikatakan dialami oleh Nabi Muhammad (s.a.w) semasa pertemuan pertamanya dengan malaikat Jibril. Pengkritik berpendapat bahawa ketakutan baginda menunjukkan asal-usul yang jahat.

Namun, alasan ini sangat tidak masuk akal dan boleh diketawakan.

Maria dan Zakharia Juga Merasa Takut dalam Alkitab, ketika malaikat muncul kepada Maria untuk memberitahu bahawa dia akan melahirkan bayi, dia berasa cemas dan takut. Begitu juga, Zakharia berasa takut apabila dikunjungi oleh malaikat yang mengumumkan kelahiran Yohanes Pembaptis. Ayat Alkitab tersebut menyebut bahawa “dia terkejut dan berasa takut.”

Dengan logik ini, adakah sesiapa yang akan mengatakan bahawa Maria atau Zakharia telah berjumpa dengan syaitan? Jelas sekali, ketakutan adalah reaksi semula jadi apabila manusia berhadapan dengan peristiwa ghaib, walaupun ia bersifat ilahi.

Jika seseorang berkeras bahawa ketakutan ketika berhadapan dengan makhluk luar biasa menunjukkan pertemuan dengan syaitan atau entiti jahat, maka dengan logik yang sama, kita boleh menganggap bahawa bayi yang dikandung oleh Maria adalah anak syaitan, begitu juga dengan kes Elisabet.

Nauzubillahiminzalik (Kami berlindung dengan Allah daripada anggapan sebegini). Kami mencintai dan menghormati Maria dan nabi Zakharia lebih daripada apa yang dilakukan oleh penganut Kristian dan Yahudi.

Pengumuman kelahiran Yesus kepada para gembala | Lukas 2:9

“Tiba-tiba berdirilah seorang malaikat Tuhan di dekat mereka dan kemuliaan Tuhan bersinar meliputi mereka dan mereka sangat ketakutan.”

Pada kebangkitan Yesus, ketika malaikat muncul | Matius 28:4

“Penjaga-penjaga itu gentar ketakutan dan menjadi seperti orang-orang mati.

Jadi, mengaitkan ketakutan awal Nabi Muhammad dengan penyembahan syaitan bukan sahaja tidak masuk akal tetapi juga bertentangan dengan naratif Alkitab sendiri.

Menurut hadis Sahih Bukhari, sebaik sahaja Rasulullah menceritakan kepada isteri baginda Khadijah berkenaan pengalamannya bertemu dengan Jibril hingga menyebabkannya ketakutan, mereka berdua bertemu dengan Waraqa Bin Naufil, sepupu Khadijah.

Waraqa adalah antara orang yang disegani di dalam masyarakat mereka pada waktu itu. Beliau sebenarnya adalah seorang Kristian yang sering menulis Gospel di dalam Bahasa Arab.

Untuk memahami mengapa dakwaan bahawa umat Islam menyembah syaitan tidak masuk akal, adalah penting untuk meneliti bagaimana Alkitab menggambarkan syaitan.

Kita menggunakan Alkitab sebagai rujukan untuk melihat isu ini dari perspektif yang sama seperti penganut Kristian yang menjadikan kitab ini sebagai rujukan mereka.

Syaitan sebagai Penipu:

Syaitan digambarkan sebagai yang menyesatkan manusia melalui pembohongan dan penipuan.

“Tetapi ular itu berkata kepada perempuan itu: ‘Sekali-kali kamu tidak akan mati, tetapi Allah mengetahui, bahwa pada waktu kamu memakannya matamu akan terbuka, dan kamu akan menjadi seperti Allah, tahu tentang yang baik dan yang jahat.

Kejadian 3:1-4 (TB)

Ayat ini menekankan bahawa syaitan adalah sumber pembohongan dan penipuan, dan tujuannya adalah untuk menyesatkan manusia. Akibat dari memakan buah itu, pengantin baru Adam & Hawa disingkirkan dari Taman Eden.

Syaitan sebagai Musuh:

Musuh adalah seseorang yang menentang atau berkonflik dengan orang lain; pada dasarnya, seorang lawan atau musuh.

“Sadarlah dan berjaga-jagalah! Lawanmu, si Iblis, berjalan keliling seperti singa yang mengaum-ngaum dan mencari orang yang dapat ditelannya.”

1 Petrus 5:8 (TB)

Syaitan digambarkan sebagai musuh kepada manusia, sentiasa mencari untuk memusnahkan atau membinasakan mereka yang lemah.

Syaitan sebagai Penggoda:

Ayat yang menceritakan kisah Adam memakan buah larangan itu juga menunjukkan syaitan itu menggoda manusia untuk melakukan perkara yang dilarang Tuhan.

Syaitan sebagai Penuduh:

“Dan aku mendengar suara yang nyaring di sorga berkata: ‘Sekarang telah tiba keselamatan dan kuasa dan pemerintahan Allah kita, dan kekuasaan Dia yang diurapi-Nya, karena telah dilemparkan ke bawah para penuduh saudara-saudara kita, yang menuduh mereka siang dan malam di hadapan Allah kita.”

Wahyu 12:10

Ayat ini secara langsung menyebut Syaitan sebagai “penuduh saudara-saudara,” menggambarkan peranannya sebagai pihak yang sentiasa menuduh orang beriman di hadapan Allah.

“Karena telah dilemparkan keluar pendakwa saudara-saudara kita, yang mendakwa mereka siang dan malam di hadapan Allah kita.”

Wahyu 12:10 (TB)

Apabila saya berdialog dengan penganut Kristian di Quora, mereka kerap menggunakan ayat-ayat tertentu dari Bible sambil mendakwa bahawa setiap kali istilah seperti “pembohong” atau “penipu” disebut, mereka akan terus membuat kesimpulan bahawa itu adalah Allah tanpa sebarang bukti sokongan seperti commentaries dari sarjana mereka, petikan dari Alkitab, atau apa-apa yang setara. Hujah dan pandangan mereka sering kali berdasarkan andaian semata-mata.

Ibarat seperti seorang kanak-kanak yang bercerita tentang ada UFO mendarat di belakang rumahnya. Kemudian bila dimintakan bukti, dia hanya cakap “Betul bro. Aku tak tipu. Ada UFO landing belakang rumah aku.” – Bodoh!

Sekarang mari kita periksa bukti bahawa sifat Allah bercanggah dengan penerangan tentang syaitan seperti yang dinyatakan dalam Alkitab di atas. Untuk bahagian ini, kita akan menggunakan Al-Quran untuk menerangkan sifat-sifat Allah kerana ini sumber rujukan utama kita untuk mengenal Allah dan memahami sifatnya.

1) Allah VS Syaitan Yang Penipu:

Demi sesungguhnya, Kami telah menurunkan ayat-ayat yang menerangkan (hakikat kebenaran dengan berbagai dalil dan bukti); dan Allah memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus.”

Surah An-Nur 24:46

Allah menjelaskan bahawa Dia akan memberi petunjuk ke jalan yang lurus. Ini bertentangan dengan syaitan yang telah menipu Adam & Hawa untuk memakan buah larangan di syurga seperti yang disebutkan di dalam Kejadian 3:1-4 di atas.

2) Allah VS Syaitan Yang Merupakan Musuh Manusia:

Berikut adalah beberapa ayat dari al-Quran yang menggambarkan bahawa Allah bukanlah musuh, tetapi sebaliknya merupakan sumber rahmat, kasih sayang, dan keampunan bagi mereka yang kembali kepada-Nya:

“Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah menerima taubat dari hamba-hamba-Nya dan menerima sedekah, dan bahawa Allah Maha Penerima taubat, Maha Penyayang?”

Surah At-Tawbah 9:104

Surah lain adalah adalah dari Al-Baqarah di mana Allah menyatakan bahawa Dia tidak akan membebani manusia dengan kesalahannya malahan dia hanya bertanggungjawab ke atas kesalahan yang dilakukannya sendiri:

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.

Surah Al-Baqarah 2:286

3) Allah VS Syaitan Yang Menyesatkan:

Al-Quran menggambarkan Allah sebagai pembimbing dan pelindung, bukan sebagai yang menggoda manusia untuk melakukan kesalahan. Fakta bahawa Allah tidak menyesatkan atau menyebabkan manusia berbuat dosa diperkuatkan melalui beberapa ayat yang menekankan bimbingan, rahmat, dan keadilan-Nya. Berikut adalah beberapa contoh:

Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

Surah Al-Baqarah 2:257

Allah menolong orang-orang yang beriman dan mengeluarkan mereka dari kegelapan. Kegelapan apa yang dilalui oleh orang-orang kafir? Kita akan bincangkannya dalam posting yang akan datang.

4) Allah VS Syaitan Yang Suka Menuduh:

Al-Quran menggambarkan Allah sebagai hakim yang adil dan saksama, yang tidak menuduh atau menzalimi sesiapa dengan tidak adil. Dia memberi peluang kepada manusia untuk bertaubat dan membimbing mereka dengan keadilan dan rahmat. Berikut adalah ayat yang menekankan bahawa Allah bukanlah seorang penuduh, tetapi bertindak dengan sepenuhnya adil dan tanpa kezaliman.

Surah Al-Baqarah 2:286 yang dipetik di atas tadi membuktikan keadilan Allah yang tidak menuduh dan menghukum orang lain yan tidak bersalah.

Kenyataan ini dikuatkan lagi dengan kenyataan Allah dari Surah An-Nisa:

Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarrah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang amat besar.

Surah An-Nisa’ 4:40

Btw, zarrah itu adalah atom. Setakat ini, kita telah membuktikan betapa sifat Allah sangatlah Mulia, Maha Pengasih, Maha Penyayang, dan Maha Melindungi. Keadilannya dalam menjatuhkan kesalahan ke atas seseorang adalah adil dengan tidak membebani orang lain yang tidak ada kena mengena.

Menariknya, sifat-sifat syaitan yang dinyatakan di dalam Alkitab tadi dimiliki oleh Tuhan Bapa menurut ayat-ayat di dalam Alkitab sendiri. Teruskan membaca untuk melihat bagaimana Yesus sendiri mengherdik orang-orang Yahudi dengan menyatakan bahawa bapa mereka adalah syaitan yang membunuh!

Idea bahawa umat Islam menyembah syaitan timbul daripada kejahilan atau keputusasaan missionaries Kristian untuk menggagalkan sinar Islam sebagai agama syumul yang sempurna. Ajaran teras Islam berpusat kepada penyembahan Allah, Tuhan Yang Maha Esa, serta usaha untuk mencapai kecemerlangan moral dan etika dalam setiap aspek kehidupan. Al-Quran secara jelas menegaskan bahawa syaitan adalah musuh nyata bagi manusia, yang tipu dayanya mesti ditentang dan diatasi melalui keimanan, amal soleh, dan kepatuhan kepada petunjuk Ilahi.

Umat Islam diajar untuk memohon perlindungan kepada Allah daripada pengaruh syaitan dan menolak segala bentuk kejahatan, berusaha untuk menjalani kehidupan yang benar sesuai dengan perintah Allah. Salah faham atau salah tafsiran ini mengabaikan inti pati Islam, yang menekankan penyerahan diri kepada Allah semata-mata dan perjuangan berterusan menentang segala bentuk kejahatan dan godaan.


Teologi Pembelaan Isu Mukjizat

Leave a comment

We understand that life’s challenges are a test of faith. Through reflections, Quranic miracles, and Islamic apologetics, we aim to help you deepen your understanding of Islam.