
Tujuan utama hidup, seperti yang dinyatakan dalam al-Quran, adalah untuk menyembah Allah dan menjadi hamba yang patuh kepada-Nya. Hal ini ditegaskan dalam firman Allah dalam Surah Adh-Dhariyat (51:56):
“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah-Ku.”
Ayat ini memberi penjelasan bahawa manusia dan jin diciptakan dengan tujuan utama untuk mengabdikan diri kepada Allah dalam setiap aspek kehidupan mereka. Ibadah bukan hanya terbatas kepada ritual keagamaan seperti solat, puasa, dan zakat, tetapi meliputi seluruh dimensi kehidupan, termasuk hubungan sosial, pekerjaan, dan perbuatan harian yang dilaksanakan dengan niat mencari keredhaan Allah. Dengan memahami ini, setiap perbuatan yang dilakukan kerana Allah menjadi sebahagian daripada ibadah.
Selain daripada menyembah Allah dengan cara yang biasa kita lihat seperti solat, maksud menyembah Allah di sini adalah beribadah dengan pelbagai cara dan juga perbuatan baik yang dilakukan dengan niat kerana Allah Ta’ala. Ibnu Taimiyah rahimahullah mengatakan, “Ibadah adalah suatu istilah yang mencakup segala sesuatu yang dicintai Allah dan diridhai-Nya, baik berupa perkataan maupun perbuatan, yang tersembunyi (batin) maupun yang nampak (lahir). Maka shalat, zakat, puasa, haji, berbicara jujur, menunaikan amanah, berbakti kepada kedua orang tua, menyambung tali kekerabatan, menepati janji, memerintahkan yang ma’ruf, melarang dari yang munkar, berjihad melawan orang-orang munafiq, berbuat baik kepada tetangga, anak yatim, orang miskin, ibnu sabil (orang yang kehabisan bekal di perjalanan), berbuat baik kepada orang atau haiwan yang dijadikan sebagai pekerja, memanjatkan do’a, berdzikir, membaca Al Qur’an dan lain sebagainya adalah termasuk sebahagian dari ibadah.”
Kehidupan manusia juga tidak terlepas daripada ujian. Allah SWT menegaskan bahawa setiap manusia akan diuji dalam hidup mereka. Dalam Surah Al-Baqarah (2:155), Allah berfirman:
“Dan sungguh akan Kami uji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.”
Ujian adalah sebahagian daripada perjalanan kehidupan manusia. Ia adalah alat untuk menguji keimanan, kesabaran, dan ketahanan seseorang dalam menghadapi cabaran. Melalui ujian, Allah melihat bagaimana seseorang menggunakan kebebasan yang diberikan untuk memilih kebaikan, bersabar, dan tetap berpegang teguh kepada agama. Ujian tidak diberikan untuk membebankan, tetapi sebagai cara untuk memurnikan jiwa, meningkatkan kedekatan kepada Allah, dan mendidik manusia untuk menjadi lebih kuat dan matang dalam iman. Sabar di dalam menghadapi ujian dan berserah diri sepenuhnya kepada Allah adalah sebahagian dari ibadah kepada Allah juga, sekaligus menyembah-Nya.
Sabar adalah kunci penting dalam menghadapi ujian. Sabar bermaksud tetap teguh dalam keimanan, berserah diri kepada Allah, dan tidak mudah menyerah walaupun berdepan dengan kesukaran. Allah menjanjikan ganjaran besar kepada mereka yang bersabar, sebagaimana firman-Nya dalam Surah Az-Zumar (39:10):
“Katakanlah (Muhammad), ‘Wahai hamba-hamba-Ku yang beriman! Bertakwalah kepada Tuhanmu.’ Bagi orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan memperoleh kebaikan. Dan bumi Allah itu luas. Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.”
Selain itu, terdapat hikmah dalam setiap ujian yang dihadapi oleh manusia. Ujian boleh menjadi cara Allah untuk menghapuskan dosa, meningkatkan darjat seseorang, dan mengingatkan manusia tentang hakikat kehidupan dunia yang sementara. Ujian adalah bentuk kasih sayang Allah kepada hamba-Nya, yang mana ia mendidik manusia untuk terus bergantung kepada-Nya, memperbaiki diri, dan meraih keimanan yang lebih kukuh.
Nabi Muhammad SAW, yang merupakan kekasih Allah, dan para rasul lainnya, adalah mereka yang paling banyak menghadapi ujian. Mereka diuji dengan kesukaran besar, termasuk penolakan, penderitaan, dan cabaran berat dalam menyampaikan risalah Allah. Contoh kesabaran, keikhlasan, dan keteguhan mereka menjadi teladan bagi umat manusia dalam menghadapi ujian kehidupan. Rasulullah SAW bersabda:
“Orang yang paling berat ujiannya adalah para nabi, kemudian orang-orang yang lebih rendah darjatnya, dan seterusnya.”
Dengan meneladani mereka, kita belajar untuk tetap sabar, tabah, dan yakin bahawa setiap ujian membawa hikmah dan kebaikan yang mungkin belum kita lihat, tetapi pasti diatur dengan penuh kebijaksanaan oleh Allah SWT.
Artikel berkaitan: Kenapa Ada Kesengsaraan Dan Kesakitan







Leave a comment