This website is bilingual

Alam Jin

Posted:

Edited:

Author:

Melayu | English

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Untuk artikel kali ini kita akan berbicara tentang satu alam yang masih lagi menjadi misteri bagi kebanyakan kita iaitu alam jin. Ia adalah merupakan satu entiti yang hidup di alam ghaib. Ghaib adalah dari perkataan Arab yang membawa maksud tidak kelihatan atau “the unseen.”

Beriman kepada alam ghaib adalah asas kepada keimanan kita. Ianya terlalu penting dan menjadi tiang kepada rukun iman kita. Ianya ditegaskan di dalam surah Al-Baqarah, ayat di mana Allah memberikan mukadimah mengenai kalam-Nya ini:

ذٰلِكَ الۡڪِتٰبُ لَا رَيۡبَۛۚۖ فِيۡهِۛۚ هُدًى لِّلۡمُتَّقِيۡنَۙ‏

الَّذِيۡنَ يُؤۡمِنُوۡنَ بِالۡغَيۡبِ وَ يُقِيۡمُوۡنَ الصَّلٰوةَ وَمِمَّا رَزَقۡنٰهُمۡ يُنۡفِقُوۡنَۙ

Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya; ia pula menjadi petunjuk bagi orang- orang yang bertaqwa;

Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan  sembahyang serta mendermakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.

Surah Al-Baqarah 2:2-3

Di dalam rukun iman, kita tidak boleh melihat Allah dan juga malaikat. Kita tidak boleh melihat atau membaca kitab-kitab terdahulu sewaktu ia masih belum diselewengkan.

Kita juga tidak dapat melihat seorang pun rasul-rasul Allah kerana telahpun berada di alam lain. Qada’ dan qadar serta hari kiamat adalah sesuatu yang ghaib melangkaui pemahaman dan ruang lingkup perspektif kita.

Tetapi kita wajib percaya kepada semua pengetahuan dan perkara ghaib ini.  

Dunia jin berada di alam ghaib. Itulah dunia yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar dan ianya terasing dari dunia material kita. Walaupun kita berkongsi ruang dan masa yang sama dengan jin,  tetapi mereka hidup di dalam dimensi yang berbeza dengan kita.

Allah telah meletakkan hijab diantara kedua alam ini sebagaimana dinyatakan dalam surah Al-A’raf ayat 27:

سَوۡءاٰتِهِمَا ؕ اِنَّهٗ يَرٰٮكُمۡ هُوَ وَقَبِيۡلُهٗ مِنۡ حَيۡثُ لَا تَرَوۡنَهُمۡ​ ؕ

Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka.

Alam ghaib tidak seharusnya bertembung dengan dunia kita. Tidak ada sebab untuk kita berhubung dengan makhluk dari alam sana dan begitu juga sebaliknya. Namun, seperti yang kita ketahui ada juga komunikasi dan interaksi diantara kedua alam ini. Ada diantara komunikasi ini dilakukan dengan tujuan untuk melakukan transaksi.

وَلَقَدْ خَلَقْنَا ٱلْإِنسَـٰنَ مِن صَلْصَـٰلٍۢ مِّنْ حَمَإٍۢ مَّسْنُونٍۢ
وَٱلْجَآنَّ خَلَقْنَـٰهُ مِن قَبْلُ مِن نَّارِ ٱلسَّمُومِ

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya.

Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma.

(Al-Hijr 15:26-27)

Jinn sudah pun diciptakan lebih awal sebelum manusia pertama, Nabi Adam AS dicipta. Telah diturunkan satu surah khusus untuk menjelaskan perihal kewujudan mereka di dalam Al-Quran  iaitu surah Al-Jin. Terdapat satu sosok penting dari keturunan ini iaitu iblis. Iblis pada asalnya adalah seorang yang warak dan beriman kepada Allah.

Disebabkan amal ibadahnya, dan peranannya di dalam membanteras kerosakan yang dilakukan oleh bangsanya sendiri, dia diangkat ke suatu kedudukan yang tinggi sebaris dengan para malaikat di langit.


Tidak seperti malaikat yang sentiasa patuh sepenuhnya kepada segala perintah Allah, jinn mempunyai kebolehan untuk membuat pilihan atau pun “free will” sama seperti manusia. Maka, mereka boleh memilih untuk melakukan kebaikan atau kejahatan. Kepatuhan atau keingkaran. Beriman ataupun kufur.

Disebabkan jin mempunyai kebolehan ini, keturunannya telah melakukan banyak kerosakan dan pembunuhan di dunia ini sebelum Nabi Adam diciptakan.

Dari situlah timbul persoalan dari malaikat di atas keputusan Allah untuk mencipta manusia, yang juga mempunyai kebolehan yang sama seperti jin seperti yang dirakamkan di surah Al-Baqarah ayat 30:

وَاِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلٰٓٮِٕكَةِ اِنِّىۡ جَاعِلٌ فِى الۡاَرۡضِ خَلِيۡفَةً ؕ قَالُوۡٓا اَتَجۡعَلُ فِيۡهَا مَنۡ يُّفۡسِدُ فِيۡهَا وَيَسۡفِكُ الدِّمَآءَۚ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَـكَ​ؕ قَالَ اِنِّىۡٓ اَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُوۡنَ‏

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.

Pergeseran pertama antara manusia dan jinn adalah Ketika Allah memerintahkan Iblis, yang berketurunan jin untuk melakukan sujud hormat kepada Nabi Adam setelah ditiupkan roh ke dalam tubuhnya seperti yang dirakamkan di alam surah Al-Hijr ayat 30:

(Setelah selesai kejadian Adam) maka sujudlah sekalian malaikat, semuanya sekali, Melainkan Iblis; ia enggan turut bersama mereka yang sujud. Allah berfirman:

Hai Iblis, apa sebabnya engkau tidak turut bersama mereka yang sujud itu?”.
Iblis menjawab: “Aku tidak patut sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya”.

Allah berfirman: “Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana sesungguhnya engkau dari sekarang ke masa depan adalah (satu makhluk yang) diusir.

Sejak dari itu Iblis telah melafazkan ikrarnya untuk sentiasa menghasut dan menyesatkan anak-anak keturunan Nabi Adam, dan mengheret kita semua masuk ke neraka bersamanya. Allah memanggilnya syaitan kerana sikapnya yang memberontak, pendendam dan sentiasa menghasut kepada kemungkaran.

Iblis ini bukanlah malaikat yang digugurkan atau “The Fallen Angel” sepertimana yang didakwa di dalam kitab orang-orang Yahudi dan Nasrani. Tapi dialah syaitan musuh nombor satu umat manusia.

Menurut hadis, jin terbahagi kepada 3 jenis:

Pertama yang mempunyai sayap dan boleh terbang, yang kedua terdiri daripada ular dan anjing yang ketiga adalah nomad. Ada beberapa tempat di dalam hadis dan Al-Quran menyebut secara khusus jenis jin ini.

Qarin

 “Tidaklah salah seorang dari kalian, kecuali didampingi Qarinnya dari bangsa jin”. Para sahabat bertanya, “Termasuk Engkau wahai Rasulullah?” Beliau menjawab, “Ya, termasuk aku. Hanya Allah telah menolongku atasnya sehingga dia tunduk dan dia tidak memerintahku kecuali kebaikan.

Ibn Kathir menghuraikan, Qarin dalam kalangan malaikat tidak berperanan untuk menjaga manusia tetapi ianya mendampinginya bagi memandunya ke arah jalan kebaikan sebagaimana qarin dalam kalangan syaitan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk membawa kita kepada kebodohan dan kesesatan.

Ghoul:

Ghoul terkenal dikalangan masyarakat Arab dahulu sebagai jin yang mampu berubah bentuk, bersikap kanibal dan jin yang dahagakan darah dan sering memperdayakan pengembara untuk mengumpan mereka ke suatu kawasan sunyi dan dijadikan sebagai mangsa.

Walaupun syaitan dan jin boleh merubah-ubah bentuk atau merupakan diri mereka dengan sesuatu bentuk yang asing akan tetapi satu perkara yang perlu diingat bahawa penyerupaan tersebut tidak mampu langsung untuk memberikan mudarat kepada kita. Mudarat atau manfaat kesemuanya datang daripada Allah SWT. Jin atau syaitan yang menjadi ‘hantu” tidak akan sesekali mampu memberi mudarat apatah lagi mencederakan atau membunuh manusia.

Perkara ini dikuatkan lagi dengan sabdaan Nabi SAW ketika mana Nabi SAW menyebut:

لا غُولَ

Maksudnya : “ Tiada Ghul..”

Riwayat Abu Daud (1536)

Al-Khattabi ketika mensyarahkan hadis ini beliau menyatakan bahawa hadis ini bukan menafikan kewujudan mereka dan penyerupaan bentuk akan tetapi hadis ini ingin menafikan kebolehan mereka yang boleh menyesatkan dan memberikan mudarat kepada manusia. Jangan takut kepada mereka kerana mereka tidak akan mampu buat apa-apa tanpa izin Allah SWT.

Ifrit:

Ifrit adalah jin yang paling kuat dan dia telah menawarkan khidmatnya untuk membawa singgahsana Puteri Saba’ ketika dalam mesyuarat diantara Nabi Sulaiman dan jemaah tenteranya. Kisah ini disebutkan di dalam surah An-Naml ayat 39:

قَالَ عِفۡرِيۡتٌ مِّنَ الۡجِنِّ اَنَا اٰتِيۡكَ بِهٖ قَبۡلَ اَنۡ تَقُوۡمَ مِنۡ مَّقَامِكَ​ۚ وَاِنِّىۡ عَلَيۡهِ لَـقَوِىٌّ اَمِيۡنٌ‏

Berkatalah Ifrit dari golongan jin: “Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah”.


Hidup Lama

Dalam konfrontasi iblis dengan Allah berkaitan keengganannya untuk sujud hormat kepada Nabi Adam, sebelum diusir, dia telah memohon kepada Allah agar ditangguhkan hukumannya hingga ke hari kiamat untuk menghasut dan mengheret anak-anak Adam bersamanya ke dalam neraka . Allah telah memperkenankan permintaannya itu.


Membisikkan Idea

Jin berupaya membisikkan idea berupa inspirasi ke dalam hati dan minda manusia seolah-olah apa yang ada dalam fikirannya itu adalah dari dalam diri manusia itu sendiri.

Sebagai contoh, apabila kita terjumpa barang bukan milik kita di satu tempat yang tersembunyi, syaitan akan berbisik ke dalam hati kita untuk mengambilnya memandangkan tiada siapa yang melihat.

Tetapi jin tidak mempunyai kuasa untuk membuat kita melakukan sesuatu tanpa kawalan diri kita sebagaimana pengakuannya sendiri di dalam surah Ibrahim ayat 22:

dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu;

Surah Ibrahim 14:22

Surah An-Nahl juga menyebut tentang perkara yang sama:

Sesungguhnya Syaitan itu tidak mempunyai sebarang pengaruh terhadap orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhan mereka.

An-Nahl 16:99


Terbang

Dalam surah Al-Hijr: 16-l8, surah As-Saaffat: 6-10 dan surah Al-Mulk: 5, telah dimaklumkan bahawa Jin boleh terbang naik ke langit. Namun begitu, mereka tidak boleh melebihi had tertentu; jika mereka cuba untuk naik melebihi had itu dan cuba mendengar perkhabaran dari langit, mereka akan direjam dengan batu-batu meteor.


Teleportasi

Di dalam kisah berkaitan ifrit dengan Nabi Sulaiman tadi, ia menunjukkan ifrit mempunyai kebolehan untuk terbang dengan sangat pantas. Namun jika dibaca ayat itu seterusnya, sebenarnya Nabi Sulaiman tidak mengambil tawaran dari ifrit.

Sebaliknya, ada individu lain yang mempunyai pengetahuan berkenaan kitab-kitab Allah dan dia mampu membawa singgahsana puteri saba’ dalam sekelip mata.

Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: “Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!” 

Surah An-Naml 27:39


Menghuni Tubuh Manusia

Di dalam satu kisah di mana Rasululullah keluar dari masjid bersama isterinya Safiyah, ada dua orang ansar lalu melintasi mereka. Bagi mengelakkan mereka berdua bersangka buruk terhadap Rasulullah dan isterinya, baginda bersabda seperti berikut:


Penyembahan

وَجَعَلُوۡا لِلّٰهِ شُرَكَآءَ الۡجِنَّ وَخَلَقَهُمۡ​ وَخَرَقُوۡا لَهٗ بَنِيۡنَ وَبَنٰتٍۢ بِغَيۡرِ عِلۡمٍ​ؕ سُبۡحٰنَهٗ وَتَعٰلٰى عَمَّا يَصِفُوۡنَ‏

Dan mereka menjadikan jin sekutu bagi Allah, padahal Allah jualah yang mencipta jin-jin itu; dan mereka berdusta terhadap Allah dengan mengada-adakan bagiNya anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan, dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan. Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah Ia dari apa yang mereka sifatkan!

Surah Al-An’am 6:100

Al-Quran memberitahu kita bahawa orang-orang terdahulu menganggap jin sebagai sekutu Tuhan, menyembah mereka dan menyangka mereka adalah keturunan Tuhan. Iblis dan tenteranya akan sentiasa menyesatkan manusia dengan apa cara sekalipun dan menjadikan perkara yang mungkar kelihatan elok dan cantik pada pandangan mereka.


Sihir

Interaksi lain yang sering berlaku antara manusia dan jinn adalah melalui amalan magic. Sebenarnya magic adalah sihir. Perkataan lain yang biasa kita dengar adalah black magic. Apa yang kebanyakkan kita faham adalah magic merupakan persembahan silap mata di atas pentas manakala black magic adalah amalan ilmu hitam.

Sebenarnya kedua-duanya adalah sama iaitu, SIHIR.

Perkataan black magic sebenarnya mempunyai masalah kerana seolah-olah membolehkan white magic. Manusia meminta pertolongan dari jin adalah kerana menyangka mereka tahu perkara ghaib.

Hal ini disangkal oleh Allah secara jelas dalam surah Saba’ ayat 14 iaitu kisah di mana angakatan jin Nabi Sulaiman tidak tahu bahawa baginda telah wafat sehinggalah anai-anai memakan tongkatnya lalu baginda rebah.

Ayat tersebut membuktikan bahawa jin tidak tahu berkenaan perkara ghaib dan juga hal yang berkaitan dengan manusia. Manusia juga meminta bantuan jin agar memiliki kehebatan yang manusia biasa tidak miliki seperti terbang ataupun kebal.

Memohon pertolongan dengan jinn samaada dengan tujuan jahat atau baik adalah dilarang keras sama sekali dan ianya adalah syirik dan difatwakan haram.


Perlindungan

Untuk perlindungan tambahan dalam menjalani urusan seharian dalam kehidupan, ada manusia yang menggunakan tangkal atau azimat untuk mencapai tujuan ini.

Tangkal atau azimat adalah satu benda yang dipercayai dapat memberikan perlindungan atau membawa tuah kepada si pemakainya. Objek sebegini terdapat dalam pelbagai jenis dan bentuk termasuk permata, patung, syiling, lukisan, loket, cincin, tumbuhan, haiwan, dan sebagainya ataupun kata ucapan yang disebut dalam keadaan tertentu.

Biasanya ia dipakai pada bahagian tertentu tubuh, seperti di pinggang atau leher dan dianggap mempunyai sakti dan boleh mengelakkan penyakit dan bencana serta memperolehi pelindungan dan kekuatan di luar tabi’i.

Biasanya tangkal azimat ini menggunakan kata-kata dicampuradukkan dengan kata-kata sihir dan kufur yang tidak diketahui maknanya seperti “Bikana, makana, Nabi Yakun, Numa Yakun Akulah sebenar-benar Zat Allah.”

Malah ada sesetengah azimat yang menyeru nama-nama syaitan dan iblis, dilukiskan rajah di dalamnya dan dicampur adukkan dengan nama Allah dan Nabi Muhammad.


Kejayaan

Ada manusia berhubungan dengan jin untuk mendapatkan kejayaan dalam kerjaya mereka. Percaya atau tidak, fenomena ini dilakukan oleh ahli-ahli politik dan juga artis-artis.

Makanan

Dalam satu hadis yang panjang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasululullah pernah didatangi oleh perwakilan Jin dari Nasibin. Mereka meminta sisa makanan manusia. Rasulullah berdoa kepada Allah agar mereka tidak akan melalui tulang dan tahi binatang kecuali ada makanan untuk mereka.  

Ref:
1) https://muslim.or.id/13024-serial-5-alam-jin-makanan-dan-minuman-jin.html

2) https://sunnah.com/bukhari%3A3860


Aurat Kita

Menurut satu hadis, bismillah menghalang penglihatan jin dari aurat kita. Maka hendaklah kita berusaha menutup aurat kita walaupun bersendirian. Sekiranya perlu menanggalkan pakaian kerana berhajat, hendaklah dilakukan dengan menyebut Bismillah.

Ref: https://sunnah.com/hisn/10


Mukallaf

Seperti manusia, jinn juga akan dipertanggungjawabkan di atas segala amal mereka. Mereka juga dijanjikan syurga atau neraka sekiranya beriman kepada Allah ataupun tidak. Ini adalah kerana mereka dikurniakan akal dan juga kebolehan untuk membuat pilihan atau free will.

“Aku pasti akan memenuhi neraka Jahanam dengan jin dan manusia (yang durhaka) semuanya.”
Surah Hud 11:119

Dalam ayat yang lain Allah berfirman:

Dan bagi mereka yang takutkan maqam Tuhannya itu dua syurga. Maka nikmat kamu berdua yang mana lagikah ingin kamu dustakan.

Surah Al-Rahman (46 – 47)

Pandangan jumhur menyebutkan bahawa golongan mukmin dari kalangan jin dimasukkan ke dalam syurga.


Jin Muslim

Terdapat juga jin Islam dan bukan Islam dalam kalangan jin. Jin telah membuat pengakuan ini dalam satu peristiwa di mana ketika Rasulullah sedang membaca Al-Quran, baginda didatangi oleh segerombolan jin.

Lalu Rasulullah berdakwah kepada mereka. Jin telah melafazkan beberapa pengakuan dan ianya dirakam di dalam surah Al-Jinn.

Dan bahawa sesungguhnya (memang maklum) ada di antara kita golongan yang baik keadaannya, dan ada di antara kita yang lain dari itu; kita masing-masing adalah menurut jalan dan cara yang berlainan. 

Surah Al-Jinn 72:11


Khutbah Si Iblis

Di dalam surah Ibrahim, Allah berfirman berkenaan situasi di padang Masyhar di mana orang-orang yang lemah bertanya kepada yang sombong sekiranya si sombong itu dapat membantu meringankan azab mereka walaupun sedikit.

Orang-orang yang sombong itu cuma mampu berkata bahawa keadaan mereka sama sahaja sambil menambah bahawa mereka tiada tempat untuk melarikan diri.

Kemudian syaitan pula berucap dengan ucapan begini:

Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu; dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakkanku itu;

Maka janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku.

Sesungguhnya dari dahulu lagi aku telah kufur ingkarkan (perintah Tuhan) yang kamu sekutukan daku denganNya”. Sesungguhnya orang-orang yang zalim beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.

Surah Ibrahim 14:22

SEBURUK-BURUK MANUSIA ADALAH SEBAIK-SEBAIK JIN adalah merupakan perkataan yang sering kita dengar di dalam masyarakat Melayu kita.

Ini adalah satu kenyataan yang tidak berasas kerana di dalam surah Al-Isra’ ayat 70, Allah telah menyatakan yang Dia telah memberikan kemuliaan kepada manusia melebihi daripada makhluk-makhluk lain yang dijadikan-Nya.

وَلَـقَدۡ كَرَّمۡنَا بَنِىۡۤ اٰدَمَ وَحَمَلۡنٰهُمۡ فِى الۡبَرِّ وَالۡبَحۡرِ وَرَزَقۡنٰهُمۡ مِّنَ الطَّيِّبٰتِ وَفَضَّلۡنٰهُمۡ عَلٰى كَثِيۡرٍ مِّمَّنۡ خَلَقۡنَا تَفۡضِيۡلًا‏

Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.

Surah Al-Isra’ 17:70

Kemuliaan yang diberikan kepada manusia adalah bermaksud diberikan kepada mereka ilmu, akal fikiran, diutuskan rasul dikalangan manusia, diturunkan kitab kepadanya dan pelbagai nikmat kemuliaan dari segi zahir dan batin. Oleh sebab itu, dengan nikmat ini sepatutnya kita melahirkan rasa syukur dengan beribadah kepada Allah SWT.

Tingginya darjat kita adalah berdasarkan ketakwaan kita kepada Allah.

Sebagaimana manusia, jin juga tertakluk kepada hukum ini dan kita sama-sama akan dihisab di hadapan Allah kelak dan diberikan  ganjaran serta balasan yang setimpal berdasarkan perbuatan dan amalan yang dilakukan oleh kita.

Mereka yang beriman, soleh dan taat kepada perintah Allah SWT sudah tentu lebih baik daripada mereka yang kufur, melakukan maksiat dan ingkar kepada Allah SWT tidak kiralah samaada mereka itu manusia atau jin.

Dan tidaklah perlu kita merasa takut kepada perkara seperti hantu jembalang dan seumpamanya kerana itu semua adalah syaitan dan sebagaimana penjelasan pada minit sebelum ini, mereka tidak mampu untuk memberikan kesan fizikal langsung kepada manusia seperti mana pengakuan jin sendiri.

Cukuplah sekadar berlindung kepada Allah dari hasutan dan gangguan syaitan yang direjam.



Teologi Pembelaan Isu Mukjizat
  1. Jinn. (n.d.). IIUM. Retrieved May 8, 2024, from https://www.iium.edu.my/deed/quran/intro/i072.html
  2. Bilal Philips. (2014, January 22). The world of the Jinn [Video]. YouTube. https://www.youtube.com/watch?v=TWn-0MwNoaU
  3. Jinn. (2024, May 4). In Wikipedia. https://en.wikipedia.org/wiki/Jinn
  4. As-Suyuthi. (n.d.). Alam Jin. Darul-Kutub Al-Ilmiyah. https://play.google.com/books/reader?id=hDa2DwAAQBAJ&pg=GBS.PR6&hl=en
  5. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan – AL-AFKAR #85 : ADAKAH HANTU-HANTU YANG DIGAMBARKAN MASYARAKAT ITU WUJUD? (2020, January 29). https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-afkar/4071-al-afkar-85-adakah-hantu-hantu-yang-digambarkan-masyarakat-itu-wujud
  6. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan – IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-254: QARIN DARIPADA KALANGAN JIN. (2018, February 28). https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/2320-irsyad-al-hadith-siri-ke-254-qarin-daripada-kalangan-jin
  7. Mishkat Al-Masabih 4148 – Game and animals which may be slaughtered – كتاب الصيد والذبائح – Sunnah.com – Sayings and teachings of Prophet Muhammad (صلى الله عليه و سلم). (n.d.). https://sunnah.com/mishkat:4148
  8. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan – AL-AFKAR #85: DO GHOSTS PORTRAYED IN OUR SOCIETY REALLY EXIST? (2020, January 29). https://www.muftiwp.gov.my/en/artikel/al-afkar/4071-al-afkar-85-adakah-hantu-hantu-yang-digambarkan-masyarakat-itu-wujud
  9. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan – IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-404 : ADAKAH SYAITAN DAN JIN BOLEH MELIHAT AURAT ANAK ADAM SERTA BAGAIMANA MENGHINDARINYA? (2020, February 5). https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/umum/4120-irsyad-al-fatwa-siri-ke-404-adakah-syaitan-dan-jin-boleh-melihat-aurat-anak-adam-serta-bagaimana-menghindarinya
  10. The Book of Greetings – Sunnah.com – Sayings and teachings of Prophet Muhammad (صلى الله عليه و سلم). (n.d.). https://sunnah.com/muslim/39
  11. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan – AL-AFKAR #102: DEFINISI QARIN. (2020b, February 28). https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-afkar/4248-al-afkar-102-definisi-qarin
  12. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan – AL-AFKAR #21 : BOLEHKAH MENGGUNAKAN KHIDMAT JIN? (n.d.). https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-afkar/2705-al-afkar-21-bolehkah-menggunakan-khidmat-jin
  13. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan – AL-KAFI #472: HUKUM MENYIMPAN BARANG KEBAL, PUSAKA ATAU MISTIK. (2016, November 25). https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1427-al-kafi-li-al-fatawi-ke-472-hukum-menyimpan-barang-kebal-pusaka-atau-mistik
  14. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan – IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-404 : ADAKAH SYAITAN DAN JIN BOLEH MELIHAT AURAT ANAK ADAM SERTA BAGAIMANA MENGHINDARINYA? (2020, February 5). https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/umum/4120-irsyad-al-fatwa-siri-ke-404-adakah-syaitan-dan-jin-boleh-melihat-aurat-anak-adam-serta-bagaimana-menghindarinya
  15. Sunan Ibn Majah 297 – The Book of Purification and its Sunnah – كتاب الطهارة وسننها  – Sunnah.com – Sayings and Teachings of Prophet Muhammad (صلى الله عليه و سلم). (n.d.). https://sunnah.com/ibnmajah:297
  16. One Islam Productions. (2023, February 16). THE UNSEEN WORLD OF JINN (SCARY DETAILS) [Video]. YouTube. https://www.youtube.com/watch?v=Ez0pDGkK4nw
  17. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan – IRSYAD USUL AL-FIQH SIRI KE- 41 : ADAKAH GOLONGAN JIN ITU MUKALLAF ? (2019, November 14). https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-usul-fiqh/3795-irsyad-usul-al-fiqh-siri-ke-41-adakah-golongan-jin-itu-mukallaf
  18. Sahih Al-Bukhari 3860 – Merits of the Helpers in Madinah (Ansaar) – كتاب مناقب الأنصار – Sunnah.com – Sayings and Teachings of Prophet Muhammad (صلى الله عليه و سلم). (n.d.). https://sunnah.com/bukhari:3860
  19. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan – IRSYAD AL-FATWA KE-75: ADAKAH IBLIS BERASAL DARIPADA MALAIKAT? (n.d.). https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/umum/1917-irsyad-fatwa-ke-75-adakah-iblis-berasal-daripada-malaikat
  20. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan – AL-AFKAR #98: BENARKAH KENYATAAN SEBURUK-BURUK MANUSIA ADALAH SEBAIK-SEBAIK JIN. (2020, February 12). https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-afkar/4174-al-afkar-98-benarkah-kenyataan-seburuk-buruk-manusia-adalah-sebaik-sebaik-jin
  21. Haram guna tangkal, azimat. (2015, September 16). Berita Harian. https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2015/09/82450/haram-guna-tangkal-azimat
  22. JAKIM : E-SMAF V1. (n.d.). http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/16007 (Azimat)

Leave a comment

We understand that life’s challenges are a test of faith. Through reflections, Quranic miracles, and Islamic apologetics, we aim to help you deepen your understanding of Islam.