Pengenalan
Assalamualaikum. Adalah sesuatu yang menghairankan bila kita lihat terlalu banyak ajaran sesat yang muncul tanpa henti. Semuanya berlatarbelakangkan Islam, atau mempunyai element Islam, atau campuran diantara ajaran Islam dengan agama lain.
Maka, timbul persoalan, kenapa perkara ini terjadi? Di mana silapnya? Jika Islam tu agama yang benar, maka kenapa Allah tak pelihara agama-Nya ini supaya kekal syumul dan mekar hingga ke akhir zaman dan hari kiamat?
Hujah saya ialah, ini adalah suatu ketentuan yang diizinkan oleh Allah agar kita dapat melihat bagaimana agama Allah telah diselewengkan sejak zaman dahulu kala. Marilah kita bersama-sama mengkaji dan memahami kenapa dan bagaimana perkara ini boleh berlaku. Teruskan menonton hingga tamat, agar kita sama-sama mendapat manfaat.
Agama Monotisme

Sebelum kita membincangkan lebih lanjut tentang kesesatan yang timbul dengan dakwaan kononnya ia adalah Islam, mari kita fahami terlebih dahulu satu istilah ini. Agama Monoteisme atau “Monotheistic Religion” merujuk kepada kepercayaan kepada Tuhan yang bersifat Esa dan tidak terbahagi.
Dalam tradisi kepercayaan ini, Tuhan diyakini hanya satu, tidak ada Tuhan lain selain Tuhan yang Esa ini, dan sifat-Nya adalah mutlak tanpa sebarang pembahagian. Konsep asas tentang Tuhan yang Satu ini juga dapat dilihat dengan jelas dalam teks agama lain, khususnya dalam agama Yahudi, seperti yang dinyatakan di dalam kitab Taurat mereka, yang berbunyi:
Dengarlah, hai orang Israel: TUHAN itu Allah kita, TUHAN itu esa!
Bilangan 6:4
Ya, saya faham terjemahannya agak kontroversi, tapi saya takkan ulas di sini. Namun, saya nak lampirkan terjemahan Arab-nya di sini di mana ayat ini tiada Allah, sebaliknya ia adalah YAHWEH.
اسْمَعْ يَا إسْرَائِيلَ، يهوه هُوَ إلَهُنَا، يهوه وَحْدَهُ
Harus juga diketahui bahawa terdapat di kalangan orang-orang Yahudi yang mendakwa bahawa mereka dan juga umat Islam menyembah Tuhan yang sama. Kita akan bincang lagi isu ini nanti, tapi satu perkara harus diingat bahawa agama Kristian, Yahudi dan Islam dipanggil sebagai Agama Ibrahim ataupun “The Abrahamic Religion”. Ini adalah kerana kita semua beriman kepada Nabi yang sama iaitu Nabi Ibrahim.
Apa yang menariknya adalah, konsep monotisme ini dapat juga dilihat pada agama tertua di dunia iaitu Zoroatrianisme.[1] Ya, agama ini adalah agama tertua dimana anutannya adalah menyembah api. Agama ini lahir dari tamadun purba Parsi, lebih tua dari Hinduisme. Hinduisme bukanlah agama tertua seperti yang didakwa mereka.
Ini kerana tiada bukti kewujudan struktur agama ini pada bukti-bukti yang dijumpai, kecuali penyembahan berhala dengan kepercayaan yang pelbagai di tanah Hindus. Perdana Menteri India pertama, Jawaharlal Nehru juga mengakui hakikat ini sebagaimana tulisan beliau di dalam bukunya berjudul The Discovery of India. [2]

Zoroastrianism juga adakalanya di dakwa sebagai agama monotheism tertua di dunia dan menjadi asas kepada Abrahamic Religions. Di dalam teks kitab suci Zoroastrianism ini ada memuji Tuhan yang satu, seperti yang disebutkan di dalam bab Gathas Song;
Yang Bijaksana, aku mengenali-Mu sebagai yang pertama dan yang terakhir, serta pelindung bagi akal yang baik, ketika aku memahami-Mu dalam penglihatanku sebagai pencipta kebenaran yang sejati dan penguasa segala tindakan kehidupan.
Apabila sesuatu perkara itu adalah yang pertama dan yang terakhir, maka ianya adalah tunggal, tiada yang lain. Ini adalah konsep Ke-Esaan dan teks ini ada di dalam kitab suci mereka. Kepada yang mungkin tak tau pasal agama ini, ini adalah agama Majusi yang telah disebutkan di dalam Al-Quran Surah Al-Hajj ayat 17 yang berbunyi:
Bahawasanya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi, dan orang-orang Saabiein, dan orang-orang Nasrani, dan orang-orang Majusi, serta orang-orang Musyrik, sesungguhnya Allah akan memutuskan hukumNya di antara mereka pada hari kiamat, kerana sesungguhnya Allah sentiasa Memerhati dan Menyaksikan tiap-tiap sesuatu.
Surah Al-Hajj 22:17

Agama paling kuno ini berpusat di Persia, atau kita sebut sebagai Parsi. Namun, nama moden Parsi adalah Iran. Pada kurun ke ke-8 hingga ke-10 Masihi mereka berhijrah ke bahagian Barat India iaitu Gujarat dan Maharashtra. [4][5][6] Dikatakan bahawa, Nabi Zoroaster atau Zarathustra telah diutus dikalangan kaum ini untuk menyampaikan risalah menyembah Tuhan yang Esa. Wahyu yang disampaikan kepadanya kemudian telah diselewengkan sehingga menjadikan mereka penyembah api. Tiada bukti daripada hadis atau ayat lain dalam Al-Quran yang menyebut mengenai nabi ini. Namun, mengambil kira ayat 24 dari Surah Fatir yang menyatakan bahawa setiap bangsa telah diutuskan seorang Rasul, maka tidak mustahil bahawa Zoroaster ini pernah wujud.
Mengikut kajian orientalis, agama Majusi ini adalah punca kepada munculnya agama monotheistic lain seperti Yahudi, Kristian dan Islam. Tetapi sebagai Muslim yang beriman kepada Allah, Nabi Muhammad dan kebenaran Al-Quran, kita percaya bahawa sekalipun kesemua agama ini mempunyai banyak sangat persamaan, ianya adalah kesan daripada penyelewengan akidah yang dilakukan oleh orang-orang terdahulu.
Islam, yang sering dianggap muncul pada abad ke-7 bersama Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, sebenarnya mempunyai kaitan yang signifikan dengan tradisi monoteisme awal dalam sejarah manusia, bahkan mungkin lebih awal daripada Zoroastrianisme. Bukti sejarah menunjukkan kewujudan lakaran batu ataupun inscription yang ditemui di tapak arkeologi di kawasan Arab, yang memaparkan nama ‘Allah’ jauh sebelum zaman Nabi Muhammad S.A.W.Sebagai contoh, grafiti dan inscription di wilayah seperti Najran dan Al-`Ula menunjukkan penggunaan nama ‘Al-Ilah’ atau the God dalam konteks pra-Islam, membuktikan bahawa konsep ke-Esaan Tuhan ini telah lama wujud dalam tradisi masyarakat Arab. [7][8][9]

Ini membuktikan bahawa idea monoteisme telah lama tertanam dalam memori budaya masyarakat di kawasan tersebut. Apa yang menariknya, perkataan Al-Ilah yang menjadi akar kepada nama Allah wujud pada inscription kerajaan-kerajaan lama sebelum lahirnya Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, termasuklah bukti-bukti lain yang terkait dengan kerajaan Kristian di Timur Tengah.[10][11][12]
Jika kita buat kajian dengan lebih lanjut, memang ada hujah membantah kenyataan Islam sebagai agama tertua, dengan cara membuktikan ada lakaran batu yang memuja dewa-dewa lain. Tetapi, harus juga difahami bahawa, agama menyembah Tuhan yang Esa ini wujud seiring, atau co-exist dengan agama lain yang menyembah tuhan yang lain. Ini tidaklah menghairankan kerana Al-Quran berhujah bahawa agama lain wujud disebabkan penyelewengan yang dibuat oleh syaitan untuk menyesatkan manusia sebagaimana disebutkan dalam surah, Al-A’raf, Ayat 16-17:
Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus;
Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.
Surah Al-A’raf 7:16-17
Wujudnya nama Allah di dalam lakaran batu pra-sejarah sebelum kelahiran Rasulullah sebenarnya membuktikan bahawa Allah bukanlah Tuhan baru yang diperkenalkan oleh baginda. Rasulullah, Islam dan Al-Quran tidak pernah mendakwa membawa agama yang baru. Sebaliknya ini adalah agama asal yang diturunkan kepada umat manusia sebagai panduan hidup di dunia, sebaik sahaja manusia pertama iaitu Nabi Adam diturunkan dari syurga.
Pembetulan akidah terpaksa dilakukan apabila manusia mula menyeleweng dari kepercayaan kepada Tuhan yang satu kepada menyembah banyak tuhan dan juga berhala, maka rasul-rasul diutuskan untuk tujuan ini. Jika ingin berhujah bahawa Islam meniru agama lain kerana banyak persamaan dengan agama Kristian dan Yahudi, maka agama-agama ini juga meniru agama sebelum mereka di mana konsep monotheism juga wujud di dalam agama Zoroastrianism dan Mandaeism.
Persamaan

Anggapan penentang Islam bahawa Al-Quran meniru daripada kitab-kitab suci lain seperti Alkitab adalah hujah dangkal yang malas dan oversimplified. Sama tidak bermakna serupa dan ditiru dari sebelumnya. Sebaliknya, ia mencerminkan sumber yang sama iaitu wahyu Ilahi.
Ayat-ayat Al-Quran sendiri menegaskan kesinambungan ini, menekankan bahawa Allah-lah yang telah menurunkan kitab-kitab sebelumnya sebagaimana disebutkan dalam Surah Ali-Imran ayat 3:
Ia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya, dan Ia juga yang menurunkan Kitab-kitab Taurat dan Injil.
Surah Ali-Imran 3:3
Mengesahkan di sini bukanlah bermakna kitab-kitab Taurat, Mazmur dan Injil yang ada pada hari ini sebagai tepat dan benar, sebaliknya ia membawa maksud bahawa Allah-lah yang telah menurunkan kitab-kitab ini suatu ketika dahulu. [13] Ayat ini sebenarnya menunjukkan naratif ke-Esaan Tuhan yang disampaikan melalui pelbagai nabi sepanjang zaman,melalui kitab-kitab yang diturunkan untuk menyatukan umat manusia dalam penyembahan kepada Tuhan yang satu.
Jika tadi kita melihat bagaimana Taurat yang dimiliki oleh orang Yahudi mengajak kepada menyembah Tuhan yang satu, di dalam Alkitab, Yesus juga menyeru kepada orang Israel untuk menyembah Tuhan yang satu seperti mana disebutkan di dalam ayat berikut dalam kitab (Mark 12:29 | Markus 12:29):
Jawab Yesus: “Hukum yang terutama ialah: Dengarlah, hai orang Israel, Tuhan Allah kita, Tuhan itu esa.
Ayat ini menunjukkan TUHAN adalah yang Esa, yang satu. Saya tidak akan bahas kecelaruan terjemahannya di sini, tapi ingin saya fokuskan bahawa Yesus menegaskan ke-Esaan Tuhan Bapa, dengan penekanan bahawa TUHAN adalah tuhannya juga, tanpa mengangkat dirinya sendiri sebagai orang yang wajib disembah. Tetapi hari ini, kita lihat baginda telah di sembah sebagai Tuhan, walhal ada banyak ayat di dalam Alkitab bercanggah dengan pemahaman ini. Kita juga sudah melihat bagaimana ayat di dalam kitab zoroastria memuji tuhannya yang satu, sedangkan penganut agama itu adalah penyembah api.
Hujah akan kebenaran Al-Quran yang diturunkan oleh Allah, Tuhan yang mencipta alam ini ada saya bentangkan di artikel-artikel lain di dalam siri mukjizat Al-Quran di blog ini. Hujah-hujah yang serupa juga banyak dibentangkan di channel-channel YouTube.
Al-Quran mengandungi beberapa ayat yang menjelaskan bagaimana manusia mula menyelewengkan akidah mereka, dari mengikuti hawa nafsu hinggalah kepada penyembahan berhala.
Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya, dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan penutup pada penglihatannya?
Surah Al-Jathiyah (45:23)
Di dalam Surah Yunus ayat 18 Allah berfirman bahawa manusia berdalih dengan mengatakan bahawa benda yang disembah selain Allah itu dikatakan memberi manfaat kepada mereka di sisi Allah:
Dan mereka menyembah selain Allah apa yang tidak dapat mendatangkan mudarat kepada mereka dan tidak (pula) manfaat, dan mereka berkata: ‘Mereka itu adalah pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah.
Surah Yunus (10:18)
Nampak tak bagaimana mereka mereka masih mengaitkan benda sembahan itu dengan Allah, padahal Allah tidak perlukan sekutu ataupun teman. Allah sambung lagi dalam ayat yang sama;
Katakanlah: ‘Apakah kamu mengkhabarkan kepada Allah apa yang tidak diketahui-Nya di langit dan di bumi?’ Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari apa yang mereka persekutukan (itu).
Hal ini samalah kaedahnya dengan sesetengah amalan khurafat dalam masyarakat kita di mana sesetengahnya menyembah kuburan wali atau sebagainya dengan menyebut benda sembahan itu adalah “connection”, atau perantara, atau lebih indah dipanggil sebagai tawassul diantara dia dengan Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Tinggi, tak perlukan sekutu ataupun pengantara untuk doa dan harapan kita sampai kepada-Nya.

Bertawassul dengan orang hidup seperti ulama’, ustaz dan orang alim MUNGKIN boleh diterima, tetapi bertawassul dengan orang yang telah mati seperti wali, atau orang keramat bagaimana? Memang ada dalil bertawasul dengan Rasulullah yang telah wafat walaupun banyak perbahasan telah diperdebatkan,[14] namun jika benar-benar beriktikad bahawa wali yang telah mati itu boleh membawa manfaat sama seperti Allah memberikan manfaat kepadanya, ini adalah persoalan yang besar.
Ultimate-nya, benda yang dikatakan penghubung kepada Allah ini berpotensi untuk menjadi satu sembahan dan tidak ada beza dengan agama Hindu yang menyebut bahawa, mereka sebenarnya bukan menyembah batu, tapi batu itu adalah connection kepada tuhan mereka. Kesemua penyembah berhala termasuk Katolik, dan juga penyembah api berdalih dengan alasan yang sama, iaitu batu atau api itu hanyalah penghubung kepada tuhan mereka.
Ramai Nabi Dihantar untuk Membimbing Manusia

Al-Quran mengkhabarkan bahawa Allah mengutus nabi ke setiap bangsa untuk membimbing mereka kepada penyembahan Tuhan yang satu. Dalam Surah An-Nahl ayat 36 Allah berfirman:
Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan setiap umat seorang rasul (dengan menyeru): “Sembahlah Allah dan jauhilah Thaghut”
Surah An-Nahl 16:36
Seperti yang telah dibahaskan tadi, dua rasul utama yang dinisbahkan dengan Abrahamic Religion iaitu Musa dan Isa Alaihimussalam membawa mesej Ilahi yang sama. Namun satu perkara harus diberi perhatian, kedua-dua rasul ini menyampaikan risalah mengikut konteks komuniti mereka. Maka atas sebab itulah di dalam kitab suci mereka, seruan adalah kepada bangsa Israel.
Berbeza dengan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, mesej dan ajarannya adalah untuk seluruh manusia di muka Bumi. Maka semua seruannya adalah berbunyi “wahai manusia” sebagaimana dalam Surah Al-Baqarah ayat 21:
Wahai manusia! Sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang sebelum kamu, agar kamu bertakwa.
Surah Al-Baqarah 2:21
Ayat ini sama dengan mesej dari Musa Alaihissalam dalam kitab Bilangan dan kitab Markus yang disebutkan tadi, cuma audience nya berbeza iaitu orang-orang Israel.
Penyimpangan Aqidah Kepada Ajaran Nabi Terdahulu

Seperti yang kita maklum, Nabi Musa Alaihissalam diutuskan kepada bangsa Israel. Kemudian, mesej yang dibawa oleh baginda , dipesongkan di dalam kitab Taurat seperti yang disebutkan di dalam Surah An-Nisaa’ ayat 46:
Di antara orang-orang Yahudi ada yang mengubah (atau menukar ganti) Kalamullah (isi Kitab Taurat), dari tempat dan maksudnya yang sebenar…
Surah An-Nisaa’ 4:46
Isi-isi kitab Taurat telah dipesongkan dengan sangat dahsyat sehingga TUHAN di dalam kitab itu kelihatan sangat kejam dan zalim seperti di dalam kitab 1 Samuel 15:3 :
Jadi pergilah sekarang, kalahkanlah orang Amalek, tumpaslah segala yang ada padanya, dan janganlah ada belas kasihan kepadanya. Bunuhlah semuanya, laki-laki maupun perempuan, kanak-kanak maupun anak-anak yang menyusu, lembu maupun domba, unta maupun keledai.
1 Samuel 15:3
Sedangkan di dalam Surah At-Taubah ayat 6, dengan rahmat-Nya yang Maha Pengasih, Allah memerintahkan umat Islam agar memberikan perlindungan kepada orang musyrik jika mereka meminta. Umat Islam juga diperintahkan untuk menghantar mereka ke tempat yang selamat supaya mereka berpeluang memahami ajaran Islam. Arahan ini menunjukkan keadilan dan belas kasihan dalam ajaran Islam, walaupun terhadap pihak musuh yang menentang.
Jadi, kita harus berhati-hati di dalam mengakui bahawa Allah telah mewahyukan kitab Taurat yang ada pada mereka pada hari ini. Surah An Nisaa’ yang dibacakan awal tadi menunjukkan Ahli-ahli Kitab telah mengubah ayat-ayat di dalam Taurat. Allah telah mewahyukan Taurat kepada Nabi Musa, versi original. Bukan apa yang mereka pegang sekarang.
Selain dari imej Allah telah dicemarkan dengan begitu dahsyat sekali, ayat-ayat di dalam kitab ini juga telah diselewengkan hingga menjadikan agama mereka eksklusif hanya kepada mereka dan mereka adalah bangsa terpilih seperti di dalam kitab Ulangan 7:6
Sebab engkaulah umat yang kudus bagi TUHAN, Allahmu; engkaulah yang dipilih oleh TUHAN, Allahmu, dari segala bangsa di atas muka bumi untuk menjadi umat kesayangan-Nya.
Ulangan 7:6
Abaikan dulu terjemahannya, ayat ini adalah punca keangkuhan mereka dan telah menafikan hak bangsa lain. Malah, saudara mereka yang membaca kitab yang sama dengan mereka telah dipandang dengan sangat hina sekali. Istilah anak Tuhan yang dinisbahkan kepada mereka seperti dalam Kitab Keluaran pasal 4 menambahkan kesombongan mereka.
Apabila kalam Allah diubah-ubah mengikut selera mereka, maka sifat Allah dan pemahaman tentangnya juga telah dipesongkan. Pasal 1 dalam kitab Yehezkiel sering dianggap sebagai sandaran terhadap satu pemahaman mistik di dalam agama Yahudi di mana di dalam pasal ini, Nabi Yehezkiel dikatakan melihat TUHAN dan Malaikat dalam bentuk yang mind blowing [15]. Makhluk bermuka 4 lah, roda ada mata lah dan sebagainya.
Kisah di dalam Kitab Yehezkiel pasal satu telah diinterpretasikan dengan cara yang pelbagai sehinggalah wujudnya fahaman kabbalah. Secara ringkasnya, Kabbalah adalah tradisi mistik dalam agama Yahudi yang berusaha memahami sifat Tuhan, penciptaan alam semesta, dan hubungan antara Tuhan dan manusia. Salah satu konsep utama dalam Kabbalah adalah emanasi, yang menjelaskan bagaimana Tuhan yang tidak terbatas (Ein Sof) menzahirkan diri-Nya melalui proses bertahap, yang akhirnya membentuk alam semesta dan segala isinya. [16]

Penzahiran diri tuhan ini menghasilkan 10 Sefirot ataupun sifat tuhan yang menjelma menjadi makhluk. Melalui proses ini, tenaga ilahi Tuhan mengalir ke dalam dunia dan menjadi asas kepada penciptaan. Di dalam konsep ini, walaupun secara zahirnya nampak seperti Tuhan itu bersatu dengan makhluk, namun sebenarnya tidak. Sebaliknya fahaman ini menekankan bahawa Tuhan itu hadir atau wujud di dalam diri makhluk dan seterusnya berhubung dan berkomunikasi. [17]
Macam pernah dengarkan konsep ni? [18] Lihatlah betapa halusnya jarum penyesatan yang membawa idea kepada menyekutukan Allah.
Amaran Rasulullah Umatnya Akan Menyimpang
Nabi Muhammad (SAW) telah meramalkan bahawa Islam akan mengalami perpecahan dan penyimpangan. Dalam satu Hadith sahih, daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Golongan Yahudi berpecah kepada 71 atau 72 golongan. Adapun golongan Nasrani pula berpecah kepada 71 atau 72 golongan juga dan umatku akan berpecah kepada 73 golongan.
Riwayat Abu Daud (4596) [19]
Amaran seperti ini menekankan bahawa penyimpangan dan kesesatan bukan sesuatu yang tidak dijangka. Maka tidaklah menghairankan kenapa fenomena ini berlaku. Sepanjang sejarah, terdapat penyimpangan di mana individu atau kumpulan mencipta gerakan baru berdasarkan prinsip Islam, kadangkala mencampurkan dengan adat dan kepercayaan tempatan, mahupun idea baru.
Proses ini menunjukkan bagaimana mesej murni Tauhid, atau keesaan Tuhan, boleh menjadi tersasar dari masa ke semasa, berasimilasi dengan idea baru, budaya mahupun agama setempat. Contohnya masyarakat Melayu Chempa ini yang jika disiasat, asas ibadahnya sangatlah huru-hara jauh dari sunnah.
Kemunculan kumpulan-kumpulan ajaran sesat yang mengubah atau mentafsirkan semula kepercayaan asas dan ayat-ayat Al-Quran mengikut selera dan tekak mereka menambahkan tenat pada masalah ini. Tidak kurang juga ada yang lebih berani mengaku sebagai nabi mahupun tuhan.
Jika pada zaman dahulu, tiada sebarang bukti boleh dirakamkan, hari ini segalanya dapat diviralkan. Jika dahulu, sebarang penyimpangan agama tidak dapat dipantau selepas wafatnya nabi-nabi mereka, hari ini kita ada badan-badan kerajaan yang dapat memantau kegiatan jenayah agama ini.
Jika wahyu-wahyu terdahulu tidak dijamin akan terpelihara keasliannya, melalui Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wasallam, Allah berjanji akan memelihara kalam-Nya ini:
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan pasti Kami (pula) yang memeliharanya.”
Surah Al-Hijr 15:9
Pemeliharaan kalam Allah ini bukanlah dengan cara dipelihara naskah-nya, tetapi terpateri di dalam hati melalui hafazan hamba-hamba-Nya yang beriman. Maksud sebenar perkataan Al-Quran itu sendiri adalah “recitation” ataupun bacaan. Makna sebenarnya jauh lebih besar, iaitu dibaca, disampaikan, difahamkan, dan diamalkan.
Penekanan Islam kepada Quran dan Hadith yang sahih bertujuan untuk menjaga daripada sebarang kerosakan. Kesan daripada penyimpangan ini menyebabkan kita semua berpecah-belah. Sabda Rasulullah menyatakan bahawa umat Islam banyak, tetapi seperti buih-buih di lautan.[19]
Maka adalah penting untuk umat Islam memahami Islam dengan sebaik-baiknya dan memahami secara mutlak bahawa Allah itu Satu tiada yang dua, dan Rasulullah itu yang terakhir, tiada yang lain selepasnya. Di samping itu, harus juga kita mengenal pasti pemesongan akidah yang mungkin boleh berlaku agar kita semua dapat menghindarinya.
Tanda-tanda Ajaran Sesat

Setelah kita membincangkan latar belakang sejarah penyimpangan akidah dan bagaimana agama tauhid diselewengkan hingga menjadi agama-agama lain pada zaman dahulu,kini tiba masanya kita mengaitkannya dengan keadaan umat Islam pada hari ini. Fenomena ajaran sesat bukanlah sesuatu yang baru, tetapi ia terus muncul dengan pelbagai bentuk, seiring dengan perubahan zaman dan masyarakat. Malahan fenomena ini dikatakan telah pun bermula sejak dari zaman Nabi Nuh lagi. [20][21][22]
Sebagai Muslim, menjadi tanggungjawab kita untuk memahami tanda-tanda ajaran sesat agar dapat mengenal pasti mana-mana amalan atau kepercayaan yang menyimpang dari ajaran Islam sebenar. Hal ini penting bukan sahaja untuk menjaga akidah diri sendiri tetapi juga untuk melindungi keluarga kita dan juga masyarakat daripada pengaruh-pengaruh yang merosakkan.
Maka, marilah kita meneliti dengan lebih mendalam, apakah tanda-tanda ajaran sesat yang perlu kita kenali dan jauhi, bersandarkan kepada dalil-dalil daripada Al-Quran dan Hadith.
Mengubah Akidah atau Konsep Tauhid
Ajaran sesat sering mengubah atau menyelewengkan konsep Tauhid, seperti menyamakan Allah dengan makhluk, menyembah selain Allah, atau mempercayai adanya Tuhan selain Allah. Perbuatan ini merosakkan inti keimanan yang menjadi asas kepada agama Islam. Ada juga yang membentuk kepercayaan lain yang mirip kepada agama Nasrani seperti menyamakan Rasulullah dengan Allah.[23]
Allah berfirman:
“Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun.”
Surah An-Nisaa’ 4:36
Rasulullah sendiri bersabda agar tidak mengangkat dirinya berlebihan seperti yang dilakukan oleh penganut Nasrani. [24]
“Jangan kamu melampau ke atasku sebagaimana melampaunya golongan Nasara terhadap anak Maryam (Nabi Allah Isa AS). Sesungguhnya aku hanya hamba Allah. Maka katakanlah: Hamba Allah dan Rasul-Nya.”
Riwayat al-Bukhari (3214)
Mengaku Sebagai Nabi atau Utusan Baru
Ajaran sesat sering dimulai dengan individu yang mendakwa dirinya sebagai nabi atau utusan Tuhan, walaupun Al-Quran telah dengan jelas menyatakan bahawa kerasulan berakhir dengan Nabi Muhammad SAW. Contohnya, ajaran “Rasul Melayu” [25] yang mendakwa dirinya menerima wahyu daripada Allah selepas Nabi Muhammad. Perkara ini jelas melanggar sabda Rasulullah:
“Tidak akan ada nabi lagi setelahku.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).[26]
Kemudian, berhati-hati pula dengan manusia yang mengaku dirinya sebagai imam Mahdi ataupun cucu Rasulullah. Banyak perkara perlu diperincikan.
Menolak atau Meremehkan Al-Quran dan Hadith
Satu lagi ciri ajaran sesat adalah apabila mereka menolak Al-Quran sebagai rujukan utama, atau mentafsirkannya mengikut kehendak sendiri. Ada juga yang menolak Hadith sepenuhnya, seperti golongan anti-Hadith yang hanya menerima Al-Quran sebagai sumber hukum. Allah telah memperingatkan dalam Al-Quran:
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Surah Ali-Imran 3:31
Mengadakan Ibadah Baru yang Tidak Bersumber dari Syariat
Ajaran sesat juga dapat dikenali apabila mereka memperkenalkan ibadah atau ritual yang tidak pernah diajarkan oleh Rasulullah SAW atau generasi awal Islam. Sebagai contoh, ajaran “Tarekat Hasan Anak Rimau” yang mencipta ritual-ritual khusus yang kononnya mendekatkan diri kepada Allah tetapi tidak bersumber dari syariat. Allah Subhana Wata’ala telah pun melengkapkan agama ini seperti firman-Nya:
Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.
Surah Al-Ma’idah, 5:3
Menyuruh Taat Membabi Buta kepada Pemimpin Ajaran
Ajaran sesat sering kali mempunyai pemimpin yang meminta ketaatan mutlak, bahkan mendakwa dirinya maksum atau setaraf dengan Nabi Muhammad SAW.
“Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai Tuhan selain Allah.”
Surah At-Taubah, 9:31
Menghalalkan Apa yang Diharamkan atau Sebaliknya
Sebahagian ajaran sesat menghalalkan perkara yang jelas diharamkan oleh Islam, seperti zina, arak, atau riba, atau mengharamkan sesuatu yang halal tanpa dalil yang sah. Ada juga mangkuk-mangkuk ini yang mendakwa bahawa solat tidak wajib, dan juga amalan-amalan lain yang jelas perintahnya di dalam Al-Quran dan Hadis.
Mendakwa Memiliki Ilmu Rahsia atau Khusus
Ajaran sesat sering kali mendakwa memiliki ilmu ghaib atau rahsia yang hanya dapat difahami oleh pengikut tertentu. Contohnya, ada kumpulan yang mengaku mengetahui rahsia kehidupan, mimpi mistik, kehebatan kebal atau terbang dan cara khusus yang paranormal untuk mendekati Allah. Ini bertentangan dengan firman Allah:
“Katakanlah, tidak ada seorang pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib selain Allah.”
Surah An-Naml 27:65
Kesimpulan
Kesimpulannya adalah, perkara ini memang sudah pun diramalkan oleh Rasulullah di dalam hadis baginda. Allah mengizinkan munculnya kesesatan untuk menguji sejauh mana kita memahami dan berpegang teguh kepada ajaran Islam dan tauhid yang sebenar. Firman Allah dalam Surah Al-Ankabut ayat 2 dan 3:
“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, ‘Kami telah beriman,’ dan mereka tidak diuji?“
Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.
Surah Al-Ankabut 29:2-3
Penyimpangan terjadi apabila konsep Tauhid dicemari, sama ada oleh pengaruh kepercayaan lama, hawa nafsu, atau tafsiran yang menyimpang. Hanya dengan kembali kepada Al-Quran dan Sunnah yang sahih, kita dapat memelihara keimanan. Rasulullah SAW bersabda:
“Aku tinggalkan untuk kamu dua perkara yang jika kamu berpegang kepada keduanya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya: Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya.”
(Riwayat Malik).
Kita perlu peka terhadap usaha-usaha penyelewengan yang berlaku sama ada secara terang-terangan atau secara halus. Adakalanya, penyelewengan akidah dilakukan secara berdalih seperti yang saya bentangkan tadi. Ingatlah, Allah itu Maha Kuasa, tidak perlukan perantara.
Penting bagi umat Islam untuk mendidik diri dan keluarga dengan ilmu agama yang sahih agar tidak terjebak ke dalam pengaruh ajaran sesat. Ingin juga saya menambah bahawa di penghujung usia dunia ini nanti, ujian terbesar kita adalah Al-Masih Al-Dajjal. Ujian ini sangat besar sehinggakan Rasulullah sendiri mengarahkan kita untuk lari jauh darinya. Ini juga adalah sebagai bukti hujah saya bahawa, semua kesesatan yang berlaku ini di dalam izin-Nya sebagai ujian buat kita semua.
Tahukah anda bahawa Rasulullah juga pernah bersabda akan munculnya beberapa dajjal, yang saya gelarkan sebagai dajjal kecil:
“ Tidak akan terjadinya kiamat sehinggalah dibangkitkan dajjal-dajjal yang menipu yang mana jumlah mereka lebih kurang 30 orang. Setiap daripada mereka mendakwa bahawa dialah utusan Allah.”
Riwayat Al-Bukhari (3609), Al-Tirmizi (2218) & Abu Daud (4333) [31]
Sebagai umat Islam, kita harus terus menghidupkan nilai-nilai Islam yang sebenar, bersatu padu, dan menjauhi perpecahan. Hanya dengan kesedaran yang tinggi dan iltizam yang teguh, kita dapat mempertahankan kesucian agama ini daripada segala bentuk penyelewengan.
Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk terus berada di atas jalan yang lurus dan melindungi kita daripada segala kesesatan. Rasulullah sendiri sentiasa berdoa agar ditetapkan imannya di agama Allah ini. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Anas radhiallahu ‘anhu beliau berkata[32]:
Adalah Rasulullah SAW selalu mengucapkan: “Wahai Zat yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu. Kemudian aku pun bertanya: “Wahai Rasulullah, kami beriman kepadamu dan kepada apa yang engkau bawa, lalu apakah engkau masih risau kepada kami?” Baginda menjawab: “Ya, kerana sesungguhnya hati manusia berada di antara dua genggaman tangan (kekuasaan) Allah yang Dia bolak-balikkan menurut yang dikehendaki-Nya.”
Teruskan menyokong kami, dan bersama-sama kita menyebarkan kebenaran dan ilmu Islam. Assalamualaikum.
Teologi Pembelaan Isu Mukjizat
Rujukan:
- Wikipedia contributors. (2001, November 7). Monotheism. Wikipedia. https://en.wikipedia.org/wiki/Monotheism
- Nehru, J. (1946). The Discovery of India. New Delhi: Oxford University Press. Page reference for the statement on the origin and usage of the term “Hindu” and its association primarily with a people rather than a religion is pages 74-75
- Federation of Zoroastrian Associations of North America. (n.d.). Zoroastrian Religion and Tradition. Retrieved from https://fezana.org/wp-content/uploads/Zoroastrian-Religion-and-Tradition.pdf
- Magnusson, A. D. (2023, March 20). Zoroastrianism and Islam: How they interacted, clashed, and accommodated one another. Voices on Central Asia. Retrieved from https://voicesoncentralasia.org/zoroastrianism-and-islam-how-they-interacted-clashed-and-accommodated-one-another-an-interview-with-andrew-magnusson/
- Encyclopaedia Britannica. (n.d.). Zarathustra. Retrieved November 20, 2024, from https://www.britannica.com/biography/Zarathustra
- Wikipedia. (n.d.). Zoroaster. Retrieved November 20, 2024, from https://en.wikipedia.org/wiki/Zoroaster
- Exploring the Quran and the Bible. (2024, May 24). Arabia at the cusp of Islam according to Inscriptions | The implications of inscriptional evidence [Video]. YouTube. https://www.youtube.com/watch?v=l4z0SzkQsnM
- YouTube. (n.d.). Ahmad Al-Jallad: Ancient Arabic Inscriptions and the Rise of Islam [Video]. YouTube. https://www.youtube.com/watch?v=I_c5P88M2Xk
- Al-Bandar, A. (2023, June 27). Pre-Islamic Arabic inscription found near Najran, Saudi Arabia. Milli Chronicle. https://millichronicle.com/2023/06/pre-islamic-arabic-inscription-found-near-najran-saudi-arabia.html
- Cole, J. (2017, October 25). Ancient Christian inscription mentioning Muhammad found in Jordan. Informed Comment. https://www.juancole.com/2017/10/christian-inscription-mentioning.html
- Sergius, A., & Hani, M. (n.d.). The inscription: Zabad. In the name of Allah, Sergius son of Ahmad Manaf, and Hani son of Makhoul. ResearchGate. https://www.researchgate.net/figure/The-Inscription-Zabad-In-the-name-of-Allah-Sergius-son-of-Ahmad-Manaf-and-Hani-son-of_fig1_380923390
- Sergius, A. (2023). Allah, Al-Ilah, and Allahumma: The Arabic language usage before the 9th century AD in the Christian-Muslim Middle Eastern. ResearchGate. https://www.researchgate.net/publication/380923390_Allah_Al-Ilah_and_Allahumma_The_Arabic_Language_Usage_before_the_9th_century_AD_in_the_Christian-Muslim_Middle_Eastern
- Ibn Kathir. (2003). Tafsir Ibn Kathir (Vol. 2, p. 2). Pustaka Imam Asy-Syafi’i.
- Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. (2023, October 23). AL-AFKAR #143: Hukum Istighasah kepada Nabi SAW. Retrieved November 21, 2024, from https://www.muftiwp.gov.my/ar/artikel/al-afkar/5766-al-afkar-143-hukum-istighasah-kepada-nabi-saw
- Jewish Virtual Library. (n.d.). Kabbalah: An overview. Retrieved November 21, 2024, from https://www.jewishvirtuallibrary.org/kabbalah-an-overview
- Wikipedia contributors. (n.d.). Kabbalah. Wikipedia. Retrieved November 21, 2024, from https://en.wikipedia.org/wiki/Kabbalah
- Ariel, D. S. (n.d.). The Kabbalistic Conception of God. My Jewish Learning. Retrieved November 21, 2024, from https://www.myjewishlearning.com/article/the-kabbalistic-conception-of-god/
- Salleh, N., & Badaruddin, F. H. (2018). Sufisme (Sufism) dan Ahli Sufi (The Sufis) Menurut Inayat Khan (1882-1927). Proceedings of the 3rd International Seminar on Islamic Thought, 244–255. Universiti Kebangsaan Malaysia. Retrieved November 21, 2024, from https://www.ukm.my/isoit/wp-content/uploads/2018/09/Nozira-Salleh-Faudzinaim.pdf
- Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. (2018, November 30). IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-306: HADITH 73 GOLONGAN. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Retrieved November 21, 2024, from https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/2818-irsyad-al-hadith-siri-ke-306-hadith-73-golongan
- Gana Islamika. (n.d.). Kisah Nabi Nuh: 3 Waddan, berhala pertama umat manusia. Gana Islamika. https://ganaislamika.com/kisah-nabi-nuh-3-waddan-berhala-pertama-umat-manusia/
- Tafsir Al-Quran. (n.d.). Tafsir Surah Nuh ayat 23-24. Tafsir Al-Quran. https://tafsiralquran.id/tafsir-surah-nuh-ayat-23-24/
- Zill, D. (n.d.). Kisah Nabi Nuh: Sejarah awal penyembahan berhala. Dennis Zill. https://www.denniszill.com/kisah-nabi-nuh-sejarah-awal-penyembahan-berhala/
- Kosmo. (2023, July 23). Fahaman Si Hulk difatwakan sesat, menyeleweng ajaran Islam. Kosmo. https://www.kosmo.com.my/2023/07/23/fahaman-si-hulk-difatwakan-sesat-menyeleweng-ajaran-islam/#:~:text=%E2%80%9CAjaran%20itu%20juga%20mendakwa%20Si,dan%20batin%20serta%20menghalang%20sihir.
- Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan. (n.d.). Al-Kafi 949: Qasidah memuji Rasulullah SAW. Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan. https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2859-al-kafi-949-qasidah-memuji-rasulullah-saw
- Harian, B. (2020, September 8). Rasul Melayu ditahan lagi. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/09/733745/rasul-melayu-ditahan-lagi#google_vignette
- Muslim.or.id. (n.d.). Tiada nabi lagi sesudah beliau. Muslim.or.id. https://muslim.or.id/5632-tiada-nabi-lagi-sesudah-beliau.html
- The Patriots. (n.d.). Ajaran Hassan Anak Rimau: Ajaran sesat yang bermula di Kelantan. The Patriots. https://thepatriots.asia/ajaran-hassan-anak-rimau-ajaran-sesat-yang-bermula-di-kelantan/
- Jabatan Mufti Negeri Selangor. (2023, October 28). Fatwa tentang tarikat Zikrullah Hasan, Anak Rimau dan Ayah Pin. Jabatan Mufti Negeri Selangor. https://www.muftiselangor.gov.my/2023/10/28/fatwa-tentang-tarikat-zikrullah-hasan-anak-rimau-dan-ayah-pin/
- Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan. (n.d.). Al-Afkar 109: Dajjal seorang atau ramai? Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan. https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-afkar/4521-al-afkar-109-dajjal-seorang-atau-ramai
- Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan. (n.d.). Al-Kafi 855: Doa yang kerap dibaca oleh Nabi SAW. Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan. https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2692-al-kafi-855-doa-yang-kerap-dibaca-oleh-nabi-saw
Penghargaan:
- YouTube. (2024, March 6). Historic Hima Wells (3000 BC), the Ancient Wells, and Inscriptions, 140 KMs North of Najran. YouTube. https://www.youtube.com/watch?v=uO_ogH0FRdk&t=157s
- YouTube. (2024, November 22). Ziarah ke Makam Sunan Kalijaga di Kadilangu Demak. YouTube. https://www.youtube.com/watch?v=9z-hSX4xpQE
- YouTube. (2024, November 22). The Glory of God in Ezekiel Vision. YouTube. https://www.youtube.com/watch?v=cmgyxPEvVIw
- YouTube. (2024, November 22).10 Mystical Sefirot, Explained. YouTube. https://www.youtube.com/watch?v=jKp9sGpagkc
- YouTube. (2024, November 22). Christian Come In Karbala. YouTube. https://youtube.com/shorts/ntRAYlXFIio?si=TAkidhPGB9ytQwjz
- YouTube. (2024, November 22) Bàni Chăm – Etnis Muslim yang tidak mengenal Sholat 5 waktu dan Puasa Vietnam dan Kamboja. YouTube. https://www.youtube.com/watch?v=rjmTGdyCuLc&t=365s







Leave a comment