This website is bilingual

Roh, Aql, Qalb dan Nafs

Posted:

Edited:

Author:

Melayu | English

Dalam artikel sebelum ini yang bertajuk Penciptaan Roh dan Perjalanannya, saya ada bentangkan bahawa pengetahuan kita berkenaan perihal ini adalah sangat sedikit dan Rasulullah sendiri menyatakan perkara yang sama di dalam sabdanya. | Artikel: Penciptaan Roh & Perjalanannya

Satu perkara perlu diberi perhatian ialah konsep roh ini tidak unik hanya kepada Islam sahaja bahkan, konsep ini juga ada di dalam banyak kebudayaan dan juga agama lain dengan pemahaman yang pelbagai malahan telah wujud sejak dari peradaban zaman kuno lagi.

Adalah penting untuk kita memahami konsep ini agar kita dapat  membezakan diantara konsep roh yang selaras dengan Islam ataupun ianya adalah konsep roh dari agama yang lain.  

Jadi dalam episod kali ini, kita akan membincangkan konsep roh dan elemen berkaitan lain yang membentuk kesedaran ataupun disebut sebagai “consciousness”. Ini adalah hakikat sebenar kejadian manusia. Ini bukan ilmu ma’rifat. Teruskan membaca hingga tamat, agar kita sama-sama mendapat manfaat.

Duncan_MacDougall_physician
Duncan MacDougall

Kesedaran, satu fenomena yang mendalam dan sukar difahami, terus menarik minat para saintis dan ahli falsafah. Satu eksperimen yang gagal pernah dilaksanakan oleh Duncan MacDougall pada tahun 1907. [14]

Eksperimen yang diberi nama “21 Grams Experiment” ini dilakukan dengan menimbang pesakit yang nazak, kemudian sebaik pesakit itu mati beratnya ditimbang lagi dan bacaan menunjukkan perbezaan berat jisim sebanyak 21 gram.

Duncan cuba membuktikan bahawa “soul” mempunyai berat. Eksperimen ini dikatakan gagal di sebabkan banyak kontroversi yang dilakukannya dan masalah lain yang berlaku semasa eksperimen dijalankan. — Sekiranya eksperimen ini diiktiraf, Duncan bukan hanya sekadar mencapai hypothesis-nya sahaja, tetapi juga membuktikan bahawa ada satu entiti yang keluar dari tubuh apabila seseorang itu mati.

Dalam sisi yang lain, Bernard J. Baars telah memberikan penjelasan yang menarik tentang kesedaran  di dalam bukunya yang bertajuk “In the Theater of Consciousness: The Workspace of the Mind”. Di dalam bukunya ini, Baars menyatakan bahawa kesedaran adalah ibarat sebuah pentas teater. [2]

"Consciousness"  sebagai watak yang memiliki 4 elemen
“Consciousness” sebagai watak yang memiliki 4 elemen

Saya akan ringkaskan hujahnya ini nanti namun mari kita fahami konsep yang cuba  diketengahkannya. Menurutnya, kesedaran mengambil watak utama di atas pentas ini dan memainkan peranan sebagai pemikiran, sensasi, persepsi dan perasaan.

Penonton bagi pementasan teater yang dilakonkan oleh kesedaran ini adalah minda bawah sedar. Minda bawah sedar ini bertindak sebagai operator senyap yang membuat jangkaan tersirat, sistem diri dan mencipta konteks bagi pengalaman sedar dan membimbing respons kita.

Minda bawah sedar sebagai penonton
Minda bawah sedar sebagai penonton

Baars juga mendakwa mempunyai bukti kukuh bahawa kesedaran berasal dari mekanisme biologi yang berevolusi dari manusia purba dan seterusnya berkembang dari masa ke semasa. Kemudian akhirnya, membentuk sebuah kesedaran yang dipengaruhi oleh keperluan survival dan interaksi kompleks di dalam sosial yang memerlukan keupayaan untuk memproses maklumat dengan cara yang lebih maju dan fleksibel.

Secara ringkasnya, Baars mendakwa bahawa kesedaran adalah proses biologi di dalam otak yang berevolusi dari masyarakat purba dan terus berkembang bagi memenuhi keperluan survival dan dibantu oleh minda bawah sedar yang memberikan konteks sesuatu perkara dan membantu kita memberikan respons yang tepat terhadap sesuatu perkara. [3]

Di dalam banyak kajian dan perdebatan di dalam ilmu sains, kesedaran bukanlah roh atau entiti yang berasingan dari tubuh, tetapi hasil daripada evolusi proses biologi dan neurobiologi di dalam otak.

Jika kita melihat dari sisi saintifik, ilmu ini belum dapat menjelaskan mengapa ada pesakit yang kehilangan sebahagian dari otaknya namun masih boleh sedar, beremosi dan memberikan refleks dengan sempurna seperti dalam kes Phines Gage.[15]

Sains juga tidak dapat menjelaskan mengapa ada pesakit yang organ “vital” nya masih lagi berfungsi, namun koma dalam masa yang sangat lama seperti di dalam kes Elaine Espasito.[16]

Roh dalam Islam

Di dalam Islam, “consciousness”, kesedaran atau hidupnya sesuatu adalah berkait rapat dengan roh. Apabila bercakap tentang roh, perkaitannya dengan Tuhan tidak dapat dielakkan. Bagi kita orang mukmin yang percaya bahawa setiap sesuatu itu diciptakan oleh Allah, roh itu sudah tentu adalah makhluk yang telah diciptakan oleh-Nya.

Maha Suci Allah yang Maha Besar, Dia lah Al-Khaliq, Al-Muhyi, yang terpisah daripada kesamaan dan keserupaan dengan mana-mana makhluk yang ada di alam semesta baik di bumi mahupun langit.

Namun bagi agama yang menyembah berhala atau juga dipanggil sebagai pagan, mereka percaya bahawa roh itu adalah sebahagian dari zat tuhan. Menurut Ahmad Iqram di dalam bukunya bertajuk Tersesat: Kebatilan Gerakan new Age, berdasarkan kepercayaan pagan, roh adalah serpihan kecil daripada satu entiti tunggal yang dipanggil sebagai roh pusat. [1]

Kemudian selepas beberapa ketika, roh pusat yang bersatu ini secara tiba-tiba terpecah dan membentuk roh-roh kecil yang kemudian melimpah menjadi tuhan-tuhan. Roh kecil yang menjadi tuhan ini kemudiannya mencipta segala objek dengan serpihan roh-roh kecil tadi.

Maka disebabkan setiap sesuatu yang berada di alam semesta ini adalah serpihan tuhan yang juga berasal dari roh pusat tadi, maka semua benda adalah juga tuhan atau bahagian tuhan kerana ada intipati tuhan atau roh tuhan dalam setiap objek, bintang-bintang, tumbuhan atau haiwan di alam semesta ini.

Atas dasar itulah penganut agama pagan ini menyembah bintang, pokok, haiwan mahupun batu. Malahan, ada juga manusia yang disembah sebagai tuhan ataupun jelmaan tuhan kerana manusia itu sudah pun mencapai tahap kesedaran yang kononnya hakikat dirinya yang sebenar adalah serpihan dari pati tuhan.

Konsep pati tuhan dalam makhluk ini sangat mirip dengan konsep di dalam agama pagan. Disebabkan inilah, penganut agama Yahudi dan sesetengah mazhab Kristian amat menentang doktrin mainstream agama Kristian dan melihat mereka sebagai penyembah berhala. Di mana menurut doktrin di dalam agama ini, Jesus Alaihissalam adalah merupakan “the essence from God”.[13]

Dalam pada para saintis meraba-raba dalam kegelapan cuba untuk memahami pengertian kesedaran ataupun “conscioussness”, Allah telah pun memberikan panduan dan ilmu-Nya berkaitan perkara ini.

Konsep roh, nafs ataupun jiwa,”عقل”ataupun akal, dan qalb ataupun hati memainkan peranan penting dalam memahami hakikat manusia dan hubungannya dengan Allah Subhana Wata’ala.

Keempat-empat elemen ini bercantum dengan jasad dan saling berkait antara satu sama lain membentuk identiti dan kewujudan manusia sebagai organisma yang bernyawa, mempunyai emosi dan persepsi, memiliki daya intelek dan juga memiliki mekanisme seperti pergerakan dan seumpamanya.

Roh

Roh adalah elemen penting yang dianugerahkan oleh Allah kepada manusia dan makhluk lainnya. Roh adalah sumber kehidupan dan yang membezakan antara benda yang hidup dan yang mati. Analogi mudahnya adalah, Roh ini adalah ibarat suatu tenaga seperti elektrik yang menjadikan sesuatu alat itu hidup.

Penting untuk diketahui bahawa di dalam Islam, roh tidak hanya digunakan untuk merujuk kepada entiti yang ditiupkan ke dalam jasad untuk menjadikannya hidup tetapi sebenarnya mempunyai spektrum yang jauh lebih besar.

Firman Allah yang telah dirakamkan di dalam Quran telah menggunakan istilah Roh di dalam beberapa konteks.

Keadaan pertama yang akan kita bincangkan adalah roh sebagai sumber  yang menghidupkan sesuatu makhluk ciptaan Allah khususnya jasad Nabi Adam sebagaimana dinyatakan di dalam Surah Al-Hijr ayat 29:

Di dalam ayat ini, Allah Azza Wajalla yang juga bersifat Al-Khaliq telah meniupkan roh yang telah diciptakannya ke dalam tubuh Nabi Adam untuk memberikannya nyawa dan menjadi hidup.

Kronologi perjalanan bermulanya penciptaan jasad Nabi Adam, kemudian Allah meniupkan roh ke dalamnya, selepas itu dikeluarkan semua roh-roh dari tulang belakang baginda sehinggalah ultimate-nya dihimpunkan di padang mahsyar telah saya bentangkan di dalam video sebelumnya berserta dengan rujukan.

Sekiranya tuan-tuan dan puan-puan belum lagi menonton video itu, mohon agar ditonton juga videonya bagi memberikan konteks yang lebih luas dan selaras dengan apa yang saya cuba sampaikan di dalam episod ini.

Keadaan lain yang Allah menggunakan perkataan roh adalah dengan merujuk kepada malaikat Jibril yang mengirimkan wahyu di mana lazimnya, wahyu ini menghidupkan hati-hati manusia dan sebagai rahmat serta petunjuk kehidupan seperti yang disebutkan di dalam Surah An-Nahl:

Jibril yang juga disebut sebagai  “Roh-Al-Quds”  ataupun “Roh Suci” ini juga memberikan bantuan dan sokongan kepada Nabi Isa seperti yang disebutkan di dalam Surah Al-Baqarah ayat 87:

dan juga  ayat 253 di dalam Surah yang sama:
 

Malaikat Jibril juga dipanggil sebagai Roh yang amanah iaitu Ar-Roh Al-Amin seperti di dalam surah Ash-Shu’ara:

Jadi ringkasnya, malaikat Jibril itu adalah suatu roh seperti yang telah disebutkan oleh Allah di dalam firman-firman-Nya.

Seterusnya, Allah Azza Wajalla juga telah menjadikan Al-Quran itu sebagai roh yang bertindak dalam menghidupkan perintah Allah dan juga sebagai cahaya yang menerangi hati orang-orang yang beriman seperti disebutkan di dalam Surah Ash-Shuraa:

Perkataan roh juga digunakan dalam menyatakan pertolongan dari Allah dan membantu hamba-hambaNya yang beriman seperti di dalam Surah Al-Mujadila:

Nabi Isa adalah Roh yang diciptakan dari kalimat Allah seperti disebutkan di dalam Surah An-Nisa’:

Menurut tafsir Ibnu Kathir, kejadian Nabi Isa diciptakan di dalam rahim ibunya Maryam adalah tidak ubah seperti Nabi Adam diciptakan seperti yang dinyatakan di dalam surah Ali-Imran.

Di dalam tafsir Ibnu Kathir ini, Ibnu Abi Hatim berkata, “bukan kalimat itu yang menjadikan Isa, akan tetapi dengan kalimat itu Isa tercipta. Kalimat itu dibawa oleh Jibril kepada Maryam lalu ditiupkan ke dalamnya dengan izin Allah maka jadilah Isa Alaihissalam dan ini adalah pendapat yang sahih. [4]

Nafs

“Nafs” merupakan istilah Arab yang secara umum merujuk kepada diri atau jiwa. Dalam Al-Quran dan Hadis, istilah “nafs” disebutkan berulang kali dan memiliki beberapa makna bergantung kepada konteksnya, seperti jiwa, darah, badan, tubuh, dan diri seorang manusia itu sendiri.

Perkataan nafs dan roh juga seringkali mempunyai makna yang bertindih antara satu sama lain. Sebagai contoh, di dalam hadis yang Rasulullah menyebut nyawa dicabut dari jasad Abu Salamah, perkataan yang digunakan adalah nafs dan bukannya roh.[12]

Ustaz Profesor Haji Abdul Somad telah menjelaskan pengertian nafs ini secara ringkas dengan begitu menarik sekali. Kredit kepada beliau untuk penerangannya ini.

Maka secara ringkasnya, nafs adalah gabungan Roh dan juga jasad bersama-sama.  Nafs inilah yang akan dimasukkan ke syurga mahupun neraka. Ini kerana nafs-lah yang merasai segalanya-galanya seperti kenikmatan atau kesakitan, kegembiraan atau kesedihan dan sebagainya.

Roh sahaja tidak dapat merasai semua perkara ini kerana roh adalah diibaratkan sebuah tenaga yang menjadikan sesuatu makhluk itu hidup sahaja. Tetapi seperti yang telah dibincangkan di minit yang sebelumnya, roh di dalam perspektif Islam adalah menjadikan sesuatu perkara itu hidup dalam spektrum yang amat besar.

Aql

Asal perkataan  “Aql” dalam bahasa Arab adalah bermaksud mengikat. Di zaman pra-Islam, istilah ini digunakan dalam konteks mengikat unta untuk mengelakkannya merayau terlalu jauh. Perkataan ini mempunyai makna metafora apabila diterapkan pada nilai intelek.

“Aql’ adalah anugerah Allah yang membolehkan manusia berfikir, merenung, dan memahami. Melalui Aql, individu dapat mengenali tanda-tanda Allah dalam alam semesta, membezakan antara yang benar dan yang salah, serta membuat keputusan yang tepat berkaitan moral dan etika. Dari sinilah dalam Bahasa Melayu perkataan akal mendapat namanya.

Al-Quran dan Hadis sering menekankan penggunaan akal sebagai cara untuk mencapai pemahaman yang lebih mendalam tentang iman dan dunia. Islamlah satu-satunya agama yang menekankan umatnya untuk menggunakan intelek dan “reasoning” dalam menilai sesuatu perkara.

Dengan menggunakan Aql, orang beriman dapat mengukuhkan iman mereka, memperbaiki perilaku, dan pada akhirnya mencari hubungan yang lebih dekat dengan Allah. Panduan yang diberikan oleh Al-Quran dan Hadis mengingatkan peranan penting yang dimainkan oleh akal dalam membimbing kehidupan yang benar dan bermakna.

Qalb

“Qalb” merujuk kepada hati dalam dua makna, iaitu fizikal dan rohani. Kata ini secara harfiah bermaksud “untuk berpusing” dalam bahasa Arab, menunjukkan bahawa hati sentiasa berada dalam keadaan bergerak dan berbolak-balik. [6,7]

Berkenaan hati yang berbolak-balik, sebuah hadis berstatus Hasan berkaitan doa yang sering diamalkan oleh Rasulullah sewaktu bersama dengan salah seorang isterinya, Umm Salamah telah diriwayatkan oleh Shahr Bin Hawshab.[8] Hadis ini dihimpunkan oleh At-Tirmidzhi di dalam bab Doa.

Apabila Umm Salamah ditanya berkenaan doa yang sering diamalkan oleh Rasulullah sewaktu bersama dengannya, dia menjelaskan bahawa Rasulullah sering berdoa kepada Allah agar ditetapkan hatinya kepada agama-Nya. Lalu, Umm Salamah bertanya kepada baginda mengapa sering berdoa begitu.

Rasulullah menjawab dalam sabdanya,

Hati juga dianggap sebagai pusat personaliti manusia serta sumber kebaikan dan kejahatan sebagaimana hadis Rasulullah yang dirakamkan Sahih Bukhari, diriwayatkan oleh An-Nu’man Bin Bashir:

Di dalam sebuah hadis yang dihimpunkan oleh Sahih Muslim, Rasulullah menekankan bahawa Allah tidak melihat pada rupa dan tubuh seseorang, tetapi hatinya.[9 ]Sewaktu Rasulullah bersabda sedemikian,baginda menunjukkan jarinya ke dada.

Perkataan yang baginda gunakan sewaktu menunjukkan jarinya ke dada adalah “صَدْرِهِ”. Kata dasarnya adalah sadr. Menurut Mufti Wilayah Persukutuan, dari sudut fungsinya, sadr berfungsi sebagai ruang di mana hati dan nafsu bertemu, serta tempat bagi akal.[10 ]

Hubungan di antara sadr (dada) dengan qalb (hati) ialah ibarat sebuah telaga di mana qalb merupakan sumber mata air dan sadr adalah tempat menampung mata air tersebut. Bayangkan telaga zamzam.

Sementara hubungannya sebagai tempat bagi akal, sadr berfungsi sebagai tempat untuk menghafal ilmu yang diperoleh melalui pelajaran dan didapati daripada kekuatan pancaindera. Contohnya, hukum-hakam, maklumat, dan semua ilmu pengetahuan yang diperolehi.

Maka atas sebab itulah menurut pendapat saya, untuk memudahkan kita menuntut ilmu kita harus memastikan bahawa hati kita sentiasa bersih dan perbetulkan niat untuk belajar kerana Allah. Insya-Allah sekalipun mungkin kita bukan orang yang pandai, ilmu itu sedikit sebanyak akan melekat dan kita pun mendapat berkat ilmu tersebut.

Kesimpulannya, kejadian manusia itu terdiri daripada lima elemen utama iaitu jasad, roh, akal, nafsu dan hati.[11] Kesemua elemen ini bergabung menjadilah nafs. Inilah yang membentuk kesedaran seorang manusia dan membezakannya diantara jasad yang hidup ataupun mati.

Qalb pula memainkan peranan penting dalam membentuk keperibadian seseorang. Baik hatinya, baiklah orangnya.

Pada ketika para saintis masih lagi termangu-mangu mencari jawapan tentang “consciousness”, kita umat Islam telah pun memiliki ilmu ini sejak berabad lalu. Benarlah bahawa Islam itu suatu rahmat dan penyuluh kepada umat manusia.

Sedangkan masyarakat jahiliah pun berjaya ditamadunkan bermula dari kosong tiada sebarang dokumen bertulis dan sebagainya, kehidupan bangsa Arab terus berkembang maju sehingga muncul zaman emas islam sewaktu ketika dahulu, rahmat dari ROH wahyu dan ilmu yang diturunkan dari Allah Azza Wajalla.

Rahmat Allah ini terus berkembang hingga ke tanah air kita tanpa henti dan akan terus mekar memakmurkan Bumi Allah ini hingga ke serata pelosok Dunia. Marilah kita bersyukur dengan nikmat agama ini. Ucaplah Alhamdulillah.


Teologi Pembelaan Isu Mukjizat
  1. Ahmad Iqram  Mohamad Noor. (2022). Tersesat: Kebatilan Gerakan New Age (Edisi Kemaskini). NHA.
  2. Goff, P. (2024, February 20). Understanding consciousness goes beyond exploring brain chemistry. Scientific American. https://www.scientificamerican.com/article/understanding-consciousness-goes-beyond-exploring-brain-chemistry/
  3. Baars, Bernard J., In the Theater of Consciousness: The Workspace of the Mind (New York, 1997; online edn, Oxford Academic, 1 May 2009), https://doi.org/10.1093/acprof:oso/9780195102659.001.1  accessed 28 June 2024.
  4. Tafsir Ibn Kathir: Vol. Jilid 2 (M. Abdul Ghoffar E.M, Trans.). (1994). Pustaka Imam asy-Safi’i. p468
  5. Sahih Muslim 921a – The Book of Prayer – Funerals –  كتاب الجنائز – Sunnah.com – Sayings and Teachings of Prophet Muhammad (صلى الله عليه و سلم). (n.d.). https://sunnah.com/muslim:921a (The eyes follow the soul)
  6. Wikipedia contributors. (2024, May 23). Qalb – Wikipedia. https://en.wikipedia.org/wiki/Qalb#cite_note-FOOTNOTENasrChittick200788-6 
  7. Unlocked, A. (2021, December 6). The Quranic Word Series: Qalb. Arabic Unlocked. https://arabicunlocked.com/the-quranic-word-series-qalb-heart/ 
  8. Chapters on Supplication – Sunnah.com – Sayings and teachings of Prophet Muhammad (صلى الله عليه و سلم). (n.d.). https://sunnah.com/tirmidhi:3522  (The Changing Heart)
  9. Sahih Muslim 2564b – The Book of Virtue, Enjoining Good Manners, and Joining of the Ties of Kinship – كتاب البر والصلة والآداب – Sunnah.com – Sayings and teachings of Prophet Muhammad (صلى الله عليه و سلم). (n.d.). https://sunnah.com/muslim:2564b (Allah seeing the heart)
  10. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan – AL-AFKAR #35: MAKSUD QALB, FU’AD DAN SADR. (2019, January 5). https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-afkar/2986-al-afkar-35-maksud-qalb-fu-ad-dan-sadr 
  11. Khaidzir Hj. Ismail, Syaidatun Nazirah Abu Zahrin, & Jamsari Alias (Eds.). (2018). Islam & psikologi: dari perspektif kemanusiaan. UKM Press.
  12. Sahih Muslim 921a – The Book of Prayer – Funerals – كتاب الجنائز – Sunnah.com – Sayings and Teachings of Prophet Muhammad (صلى الله عليه و سلم). (n.d.). https://sunnah.com/muslim:921a (Dead man fixed eye)
  13. Staples, T. (2019, August 20). Jesus is God. Catholic Answers. https://www.catholic.com/magazine/print-edition/jesus-is-god (Jesus PBUH possess essence of God)
  14. Contributors to Wikimedia projects. (2023, October 12). 21 grams experiment. Simple English Wikipedia, the Free Encyclopedia. https://simple.wikipedia.org/wiki/21_grams_experiment 
  15. MSEd, K. C. (2024, January 17). Phineas Gage: His accident and Impact on Psychology. Verywell Mind. https://www.verywellmind.com/phineas-gage-2795244 
  16. Elaine Cinderella Esposito  (1934-1978) – Find a. . . (1934, December 3). https://www.findagrave.com/memorial/179002503/elaine-cinderella-esposito 
  17. The concept of Ruh in Islam – Rahbar home page. (2021, December 11). https://rahbar.co.uk/the-concept-of-ruh-in-islam/ 
  18. Moslem Digital. (2020b, June 10). Mengenal RUH, NAFS (JIWA) dan Ketika Manusia di Surga – Ustadz Abdul Somad Lc. MA,. PH. D [Video]. YouTube. https://www.youtube.com/watch?v=oOG4tLxUChY 
  1. Ahmad Iqram Mohamad Noor Channel. (2022, September 17). DATUK GONG: Dewa Melayu yang disembah orang Cina [Video]. YouTube. https://www.youtube.com/watch?v=DaGRYivXUcY 
  2. National Geographic. (2016, April 19). The Hindu Interpretation of Creation | The Story of God [Video]. YouTube. https://www.youtube.com/watch?v=bW_awN9uV6w 
  3. Plainly Difficult. (2021, October 23). The Dark side of Science: The 21 grams Experiment 1907 weighing the soul (Short Documentary) [Video]. YouTube. https://www.youtube.com/watch?v=8L7JFfnmZyk 
  4. ThinkingAllowedTV. (2010, August 21). Bernard Baars: How Consciousness Functions –  Thinking Allowed DVD w/ Dr. Jeffrey Mishlove [Video]. YouTube. https://www.youtube.com/watch?v=VVP6iOCpbV8 
  5. Moslem Digital. (2020, June 10). Mengenal RUH, NAFS (JIWA) dan Ketika Manusia di Surga – Ustadz Abdul Somad Lc. MA,. PH. D [Video]. YouTube. https://www.youtube.com/watch?v=oOG4tLxUChY 

Leave a comment

We understand that life’s challenges are a test of faith. Through reflections, Quranic miracles, and Islamic apologetics, we aim to help you deepen your understanding of Islam.