
Pengenalan
Solat lima waktu adalah inti kepada kehidupan seorang Muslim. Ia bukan sahaja kewajipan, tetapi juga sebuah amalan yang telah diwajibkan sejak peristiwa Israk dan Mikraj. Dalam solat, kita menemui kedamaian, menyucikan hati, dan memperkukuhkan hubungan dengan Allah SWT, menjadikannya pusat kepada kehidupan rohani setiap Muslim.
Perintah Solat dalam Al-Quran dan Sunnah
Dalil kewajipan solat lima waktu dalam Islam terdapat dalam Al-Quran dan Hadith, yang secara jelas menunjukkan bahawa ia adalah perintah wajib ke atas setiap Muslim. Berikut adalah beberapa dalil utama:
1. Dalil dari Al-Quran:
Surah An-Nisa’, ayat 103
“Sesungguhnya solat itu adalah kewajiban yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman.”
Surah Al-Baqarah, ayat 43
“Dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat, dan rukuklah beserta orang-orang yang rukuk.”
2. Dalil dari Hadith
Hadith ini diriwayatkan oleh Ubadah bin Somit R.A:
Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Lima waktu solat yang diwajibkan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya; barangsiapa yang mendirikannya dan tidak meninggalkannya kerana kecuaian, maka Allah SWT akan mengadakan perjanjian dengannya pada hari akhirat untuk memasukkannya ke dalam syurga.”Sunan Abi Dawud (1420), Sunan Ibn Majah (1401) dan al-Muwatto’ (268)[1]
Hadith daripada Tolhah bin ‘Ubaidillah R.A:
Seorang lelaki daripada Najd yang rambutnya kusut-masai datang kepada Rasulullah SAW, kami mendengar suaranya yang kuat tapi tidak memahami apa yang diucapkannya, sehinggalah dia menghampiri kami barulah kami tahu dia bertanya mengenai Islam. Rasulullah SAW menjawab: “Hendaklah kamu solat lima waktu sehari semalam”. Lelaki tersebut bertanya: “Adakah aku perlu lagi solat yang lain?”. Rasulullah SAW menjawab: “Tidak, melainkan jika kamu mahu, kamu boleh mendirikan solat-solat sunat”.
Sahih al-Bukhari (46) dan Sahih Muslim (11) [1]
Keistimewaan Solat 5 Waktu
Solat bukan sekadar kewajipan, tetapi juga hadiah daripada Allah SWT kepada umat Islam. Melalui solat, kita membina hubungan langsung dengan Pencipta kita, membersihkan jiwa, dan memperkukuhkan keimanan. Antara hadiah yang terkandung di dalam solat 5 waktu adalah seperti berikut:
- Subuh: Mengawali hari dengan mengingati Allah, memberi kekuatan rohani untuk menghadapi cabaran harian.
- Zohor: Waktu istirahat untuk menyambung semangat bekerja dengan penuh keberkatan.
- Asar: Mengingatkan kita akan kepentingan menggunakan masa dengan baik sebelum hari berakhir.
- Maghrib: Menenangkan jiwa selepas seharian bekerja dan mengisi malam dengan ketaatan.
- Isyak: Menutup hari dengan doa dan menyerahkan urusan kepada Allah.
Hikmah Lain Solat 5 Waktu
Solat bukan hanya ibadah ritual tetapi juga membawa manfaat besar kepada kehidupan:
- Membersihkan Hati: Solat adalah detik muhasabah diri, di mana kita memohon keampunan dan memperbaharui niat untuk menjadi lebih baik.
- Sempadan Diri: Selain itu, dengan memastikan diri kita sentiasa taat pada perintah menunaikan solat, kita akan dapat menjaga diri kita daripada melakukan dosa-dosa kerana berasa malu untuk mengahadap Allah di dalam solat yang seterusnya.
- Meningkatkan Disiplin: Dengan solat lima waktu, kita belajar menghargai masa dan menjadikan ibadah sebagai keutamaan.
- Simbol Kepada Kebersihan: Kita diwajibkan berada di dalam keadaan yang bersih sewaktu mendirikan solat. Selain dari syarat spiritual, berwuduk juga sebenarnya membersihkan anggota solat kita dari sebarang kekotoran.
- Menyatukan Umat: Dalam solat berjemaah, kita menguatkan ukhuwah Islamiah tanpa mengira bangsa atau status.
- Ketenangan Jiwa: Solat memberi ketenangan dalaman melalui zikir dan doa.
Cabaran dan Motivasi untuk Menjaga Solat
Adakalanya, menjaga solat lima waktu menjadi cabaran, terutama bagi mereka yang sibuk dengan urusan dunia. Namun, Allah SWT menjanjikan ganjaran yang besar kepada mereka yang konsisten dalam solat. Ingatlah, solat adalah tanda syukur kita kepada Allah atas segala nikmat yang diberikan.
Kesimpulan
Solat lima waktu adalah asas kehidupan Muslim yang tidak boleh diabaikan. Ia bukan sekadar perintah tetapi rahmat yang mendekatkan kita kepada Allah SWT. Dengan menjaga solat, kita sebenarnya menjaga hubungan kita dengan Pencipta dan memastikan jiwa kita sentiasa terpelihara daripada kelalaian.
Mari kita jadikan solat sebagai keutamaan dan tiang kepada setiap aspek kehidupan kita. Dengan itu, kita akan meraih kejayaan dunia dan akhirat.
Teologi Pembelaan Isu Mukjizat
Asas Kepercayaan | Rukun Iman | Rukun Islam | Al-Quran | Sejarah
Rujukan:
1) Mufti Wilayah Persekutuan. (n.d.). Irsyad al-Fatwa Siri Ke-379: Mengapa Mazhab Hanafi Mewajibkan Solat Witir? Retrieved from https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/4050-irsyad-al-fatwa-siri-ke-379-mengapa-mazhab-hanafi-mewajibkan-solat-witir






