This website is bilingual

Rukun Iman: Panduan Asas Kepercayaan Muslim

Posted:

Edited:

Author:

Melayu | English

Dalam kehidupan seorang Muslim, asas keimanan memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk pandangan hidup, amalan harian, dan hubungan dengan Sang Pencipta. Islam bukan sahaja sebuah agama tetapi juga satu cara hidup yang lengkap, memberikan panduan kepada manusia dalam pelbagai aspek kehidupan. Dalam ajarannya, terdapat enam prinsip utama yang dikenali sebagai Rukun Iman, yang menjadi asas kepada kepercayaan seseorang Muslim.

Rukun Iman adalah tapak kepada keyakinan spiritual dan akhlak yang membimbing manusia kepada kebenaran, memberikan tujuan kepada kehidupan, dan mengekalkan keharmonian dan ketenangan diantara dirinya dan juga Tuhan yang menciptanya.

Firman Allah dalam Surah An-Nisa menegaskan betapa pentingnya rukun iman ini di mana jika kita tidak mempercayai salah satu dari rukun ini, maka kita akan berada di dalam kesesatan.

Tanpa keimanan yang kukuh terhadap rukun ini, seorang Muslim akan kehilangan arah dan tidak dapat meraih ketenangan jiwa yang sebenar. Oleh itu, memahami dan menghayati setiap rukun iman adalah satu keperluan yang wajib bagi setiap umat Islam.

Tanpa kepercayaan dan memahami sepenuhnya setiap dari rukun-rukun ini akan menjadikan seorang Muslim itu lemah jati diri ke-Islamannya. Mereka akan mula mempersoalkan Allah, Kitab-Nya dan Rasul-Nya. Jauh sekali untuk menunaikan rukun-rukun Islam dan lebih teruk lagi meninggalkan agama yang satu-satunya memiliki kebenaran ini.

Setiap rukun iman ini meliputi pelbagai aspek yang merangkumi kepercayaan kepada Allah, dan juga kepada perkara-perkara lain yang ghaib. Kepercayaan kepada rukun-rukun ini bukanlah sekadar pengakuan lisan semata-mata, tetapi satu keimanan yang datang dari hati, diterjemahkan melalui amalan, dan diperkukuh dengan ilmu pengetahuan.

Artikel ini akan bersambung ke artikel-artikel lain yang membincangkan secara terperinci setiap dari rukun-rukun ini beserta dengan bukti-bukti yang kukuh. Tetapi sebelum itu, mari kita lihat apakah rukun-rukun iman tersebut.

Allah adalah tuhan yang telah menciptakan alam ini dan seluruh isinya. Kewujudan alam semesta dan segala isinya menjadi bukti nyata akan adanya Pencipta yang Maha Kuasa. Firman Allah dalam Surah Ath-Thur:

Ini adalah soalan retorik kepada mereka yang menidakkan kewujudan Tuhan sebagai pencipta dan percaya bahawa semua benda terjadi secara kebetulan. Ya, kita bercakap tentang atheist dengan kepercayaan palsu mereka. Di dalam Surah Al-Ikhlas Allah telah pun menjelaskan sifat dirinya untuk kita imani.

Surah yang pendek ini adalah sangat logik jika difikirkan secara mendalam. Sifat diri-Nya yang dijelaskan di dalam Surah ini juga menjadikan Allah satu-satunya tuhan yang berbeza dari mana-mana agama diatas muka Bumi ini.

Ini juga sebenarnya adalah kepercayaan tauhid iaitu satu kepercayaan bahawa tuhan itu hanya satu dan tidak terbahagi, dan tidak ada sesuatu benda pun atau manusia dimuka Bumi ini yang serupa dengan-Nya. Konsep ini juga dipanggil sebagai monotheism.

Di dalam Surah Muhammad, Allah dengan tegasnya menyatakan bahawa tiada tuhan lain selain diri-Nya, dan kita dikehendaki memohon keampunan dari-Nya untuk setiap kesalahan yang kita lakukan.

Allah adalah sumber segala kemuliaan, kekuasaan dan juga pengetahuan. Segala perintah dan ilmu-Nya disampaikan kepada umat manusia melalui perantara malaikat.

Malaikat adalah salah satu makhluk ciptaan Allah yang berada di alam ghaib. Makhluk ini diciptakan dari cahaya dan mempunyai beberapa kebolehan luar biasa yang tidak dimiliki oleh manusia. Antara kebolehan mereka ialah bergerak dengan pantas diantara dua tempat yang sangat jauh dan juga berubah bentuk dari cahaya kepada bentuk manusia.

Kita akan bincangkan lagi banyak perkara tentang malaikat di dalam artikel yang lain seperti nama-nama dan juga tugas-tugas mereka tetapi di dalam artikel ini, saya ingin tegaskan bahawa malaikat mempunyai integriti ataupun kejujuran yang tidak perlu dipersoalkan kerana makhluk ini diciptakan tanpa kebolehan untuk memilih ataupun “free will”.

Tiada “free will” maka tiadalah keinginan untuk menentang perintah Allah mahupun memesongkan wahyu-Nya untuk kepentingan diri malaikat itu sendiri. Maka dengan sebab itu, segala wahyu yang diterima dari Allah disampaikan kepada manusia tanpa sebarang kecacatan atau penyelewengan. Malaikat Jibril dipertanggungjawabkan untuk membawa wahyu dari Tuhannya kepada agent manusia yang dipanggil sebagai rasul dan nabi.

Wahyu diturunkan dan disampaikan oleh malaikat Jibril kepada banyak nabi dan rasul yang telah dipilih oleh Allah untuk menyebarkan ilmu Tauhid menyembah-Nya beserta dengan pelbagai ilmu-ilmu-Nya yang lain kepada umat manusia mengikut zaman mereka masing-masing.

Ada diantara wahyu-wahyu yang disampaikan itu dibukukan dan kita wajib untuk mengimani kewujudannya. Dari segi bahasa, kitab bermakna buku. Di dalam Surah Al-A’raf ada menjelaskan Nabi Musa menerima wahyu dalam bentuk lembaran ataupun tablet yang disebut sebagai “lauh”.

Ada 4 kitab yang kita wajib beriman iaitu:

1. Kitab Al-Quran:
Diturunkan kepada Nabi junjungan kita, nabi Muhammad S.A.W. Al-Quran menyempurnakan ajaran-ajaran dalam kitab-kitab sebelumnya yang telah diubah oleh tangan manusia. Sebagai kitab terakhir, ia diturunkan untuk menjadi panduan hidup bagi seluruh umat manusia tanpa mengira bangsa, kaum, atau zaman, serta kekal relevan hingga hari kiamat sebagai petunjuk yang sempurna dan lengkap.

2. Kitab Taurat:
Diturunkan kepada Nabi Musa Alaihissalam. untuk membimbing Bani Israil. Mereka memanggilnya sebagai Torah pada hari ini dan bagi umat Kristian, Torah ada di dalam Alkitab (Bible). Walaupun kita wajib beriman kepada kitab Taurat, tetapi kita juga percaya bahawa kitab ini yang ada ditangan mereka sudah pun rosak teruk dengan banyak penyelewengan yang dilakukan oleh rahib-rahib mereka.

3. Kitab Zabur
Diturunkan kepada nabi Daud A.S yang diutuskan kepada Bani Israil juga untuk membimbing kaumnya. Pada hari ini, kitab ini dipanggil sebagai Psalm ataupun Mazmur di dalam Alkitab. Nasib kitab ini juga tiada beza dengan kitab Taurat.

4. Kitab Injil
Diturunkan kepada nabi Isa A.S yang juga diutuskan kepada Bani Israil. Ada pihak berpendapat bahawa Gospel adalah Injil. Ada juga yang berpendapat bahawa Gospel bukanlah wahyu yang diturunkan tetapi sifatnya seperti hadith di dalam tradisi Islam. Wallahua’lam Bissawab (hanya Allah yang lebih mengetahui).

Seperti yang telah dibentangkan di atas, kitab-kitab ini berfungsi sebagai panduan dan ikutan umat manusia yang disampaikan melalui rasul-rasul Allah.

Rasul adalah lelaki pilihan Allah yang ditugaskan untuk menyampaikan wahyu-Nya kepada manusia. Mereka adalah agen Allah dikalangan manusia yang diberikan kemuliaan dan kelebihan seperti mukjizat dengan izin-Nya.

Firman Allah;

Selain daripada berdakwah mengenai ke-Esaan Allah dan menyampaikan perintah menyembah-Nya sahaja, rasul-rasul ini juga dipertanggungjawabkan untuk mengajarkan manusia mengenai hari akhirat.

Beriman kepada hari akhirat bermakna kita mempunyai tujuan hidup yang jelas. Rukun ini menegaskan bahawa kehidupan di dunia hanyalah sementara manakala akhirat jualah tempat yang kekal buat selama-lamanya.

Beriman kepada hari akhirat bukanlah bermakna mengabaikan tanggungjawab dan meninggalkan segala peluang yang baik di dunia. Sebaliknya dunia adalah ladang untuk kita beroleh tempat yang baik di akhirat. Beriman kepada hari akhirat juga sebenarnya akan menjadikan kita orang yang lebih baik.

Sebagai contoh, beriman kepada hari akhirat menjadikan kita lebih bertanggungjawab dalam menjalankan amanah. Seseorang itu akan sentiasa mengelakkan rasuah dan penyelewengan kerana percaya segala amalnya akan dihisab dan diberikan pengadilan.

Beriman kepada rukun ini juga menjadikan kita sabar dalam menghadapi ujian dan cabaran di dalam kehidupan. Ini adalah kerana dia percaya walau apa pun yang dilaluinya adalah sebahagian dari qada’ qadar yang telah ditetapkan dan akan menerima balasan yang setimpal di akhirat kelak berkat kesabarannya.

Ini adalah konsep penting dalam Islam yang merujuk kepada ketetapan Allah terhadap segala sesuatu yang telah ditentukan sejak azali. Sebagai contoh, umur seseorang ataupun perjalanan hidupnya yang melalui pelbagai fasa samaada suka ataupun duka.

Namun, ini bukan bermakna yang kita langsung tiada keupayaan untuk mengubah nasib kita. Allah telah memberikan kita kelebihan intelek, tenaga dan keupayaan untuk menjadikan kehidupan kita lebih baik sebagaimana firman-Nya dalam surah Ar-Ra’d:

Kesemua elemen di dalam rukun iman adalah perkara-perkara yang ghaib. Bermula dari sifat Allah itu sendiri yang berada di luar jangkauan fizikal dan imaginasi kita, sehinggalah kepada qada’ dan qadar yang sudah tentu tidak boleh dipegang atau dilihat.

Walaupun secara logiknya kita dapat melihat Taurat, Zabur ataupun Injil apabila kita memegang Bible, namun hakikatnya kita tidak dapat melihat atau membaca kitab-kitab ini dalam keadaan yang masih asli dan belum dicemari dengan pendustaan oleh orang-orang terdahulu.

Hanya dengan berpegang teguh kepada rukun iman barulah kita dapat melafazkan syahadah dengan penuh keyakinan, pengharapan dan penyerahan kepada Allah, Tuhan yang menciptakan kita dan seluruh alam semesta. Goyahnya salah satu tiang di dalam rukun ini, maka runtuhlah Islam di dalam diri kita.

Semoga ditetapkan iman dan taqwa kita hanyalah kepada Allah Subhana Wata’ala.



Teologi Pembelaan Isu Mukjizat

Asas Kepercayaan | Rukun Iman | Rukun Islam | Al-Quran | Sejarah

We understand that life’s challenges are a test of faith. Through reflections, Quranic miracles, and Islamic apologetics, we aim to help you deepen your understanding of Islam.