
Pengenalan
الله
Beriman kepada Allah merupakan Rukun Iman yang pertama dan paling asas dalam Islam. Ia menuntut keyakinan penuh bahawa Allah adalah Tuhan yang Maha Esa, Pencipta dan Pemelihara seluruh alam semesta. Keimanan ini bukan sekadar pengakuan lisan, tetapi juga keyakinan dalam hati dan pengamalan dalam perbuatan seharian.
Surah Al-Ikhlas merungkai dengan jelas sifat Allah hanya dalam empat ayat:
i- Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;
Tuhan tidak sepatutnya ada lebih dari satu. Ini adalah kerana Tuhan mempunyai kuasa dan kebijaksaan-Nya yang tersendiri. Jika sekurang-kurangnya ada 2 tuhan, maka pada saat 1 tuhan itu dikalahkan oleh tuhan yang lain, maka dia bukanlah tuhan yang Maha Kuasa. Sebaliknya, dia adalah tuhan yang lemah. Keadaan ini akan menjadi dilema untuk kita menukar sembahan kepada Tuhan yang lagi satu kerana dia lebih kuat. Akan datang, dia akan dikalahkan pula oleh tuhan yang lain tadi.
Kebijaksanaannya juga akan menyebabkan percanggahan di dalam mentadbir alam ini. Satu tuhan ingin buat planet berbentuk bulat, manakala tuhan yang lagi satu ingin buat planet berbentuk piring.
ii- Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;
Tuhan tidak sepatutnya memerlukan kita untuk memberinya makan. Ianya adalah satu kebodohan apabila melihat penyembah-penyembah berhala memberikan makanan kepada patung-patung sembahan mereka. Sekalipun ianya dengan tujuan untuk mendapatkan berkat dan tahu, Tuhan tidak perlu diberi makan, tetapi ianya adalah satu penghinaan kepada tuhan sendiri jika benar tuhan mereka berkuasa.
Bayangkan seorang peminta sedekah memberikan wang sepuluh sen kepada seorang raja.
Tuhan mereka lemah dan tidak akan dapat memberikan sebarang mudarat mahupun kebaikan. Kitalah yang sepatutnya bergantung kepada Tuhan, bukan dia yang mengharapkan kita menyuapkannya makanan.
iii- Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan;
Bayangkan tuhan melahirkan anak. Keluar dari mana? Adalah sungguh tidak layak untuk Tuhan melahirkan anak kerana itu adalah sifat makhluk. Dia juga tidak sepatutnya dilahirkan. Jika dia boleh dilahirkan, maka dihujung usianya dia juga akan menemui kematian.
iv- Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya
Pada saat rupanya sama seperti manusia, haiwan mahupun bintang di angkasa, dia bukanlah Tuhan. Ini adalah kerana minda, perspektif dan pengalaman kita terbatas di dalam ruang dan masa yang fana ini. Sedangkan Tuhan adalah Maha Tinggi melangkaui batas ruang dan waktu, tidak tercapai dek akal dan fikiran.
Allah sebagai Tuhan Semesta Alam
“Not by chance: From bacterial propulsion systems to human DNA, evidence of intelligent design is everywhere.“
Stephen C. Mayer,
Ph.D, University of Cambridge[3]
Intelligent Design merujuk kepada satu entiti yang sangat bijaksana dan tanda-tanda kewujudan-Nya dapat dilihat di dalam kompleksnya maklumat DNA di dalam sel-sel. Allah diakui sebagai Tuhan bagi seluruh alam, termasuk semua manusia dan juga makhluk ciptaan-Nya yang lain dengan kerumitan kejadian yang hebat. Konsep ini ditegaskan di dalam Al-Quran:
Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar.
Surah Fussilat 41:53
Namun, terdapat salah tafsir yang menganggap bahawa Allah adalah Tuhan eksklusif bagi umat Islam sahaja. Sebelum Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wassalam diangkat menjadi rasul, baginda sering menyendiri di Gua Hira’ dan beribadat. Jika Islam agama baru yang dibawa oleh baginda, jadi kepada siapa baginda beribadat sebelum kerasulannya? Ianya adalah Tuhan Nabi Ibrahim dimana ajarannya yang meng-Esakan Allah masih lagi dipegang oleh segelintir masyarakat Arab pada waktu itu.
Kemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): Hendaklah engkau menurut ugama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar; dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik.
Surah An-Nahl 16:123
Walaupun ayat ini diwahyukan selepas kerasulan baginda, tetapi ini menunjukkan bahawa agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim masih lagi wujud. Jika ianya masih disebut, maka amalan dan penganutnya masih lagi wujud sebagaimana Allah menyebut nama agama-agama lain di dalam wahyunya. Dengan perintah kepada Rasulullah untuk mengikuti agama Nabi Ibrahim, maka ini adalah satu pengiktirafan dari Allah bahawa agama ini masih lagi suci berbanding agama yang lain.
Keturunan Rasulullah iaitu Bani Hasyim adalah diantara mereka yang masih terpelihara tauhidnya. Manakala kebanyakan masyarakat Arab di Mekah pada waktu itu, mereka menjadikan berhala-berhala sebagai sembahan yang kononnya menurut mereka sebagai penghubung kepada Allah.
“Dan mereka menyembah selain Allah apa yang tidak dapat mendatangkan mudarat kepada mereka dan tidak (pula) manfaat, dan mereka berkata, ‘Mereka itu adalah pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah.”
Surah Yunus 10:18
Rasulullah SAW Bukan Membawa Ajaran Tuhan yang Baru
Nabi Muhammad SAW bukan membawa ajaran menyembah Tuhan yang baru atau satu konsep yang tidak pernah didengar oleh orang Arab Mekah pada waktu itu. Sebenarnya mereka tahu dan sedar akan wujudnya Allah. Istilah ini digunakan secara meluas diseluruh tanah Arab termasuklah di dalam puisi-puisi bahasa Arab[2] sebelum kembalinya Islam melalui Rasul junjungan kita Nabi Muhammad SAW. Malahan, di dalam kitab suci orang Nasrani berbahasa Arab di sekitar jazirah, istilah Allah sering digunakan apabila merujuk kepada TUHAN pada waktu itu sehinggalah pada hari ini.

Walaupun orang musyrikin mengakui adanya Allah, tetapi amalan mereka pada waktu itu adalah mengaitkan patung-patung berhala dengan Allah dan mengatakan berhala itu adalah anak-anak-Nya.
Surah(Setelah kamu – wahai kaum musyrik Makkah – mendengar keterangan yang membuktikan kekuasaan dan keagungan Allah) maka adakah kamu nampak bahawa “Al-Laat” dan “Al-Uzza” -Serta “Manaat” yang ketiga, yang bertaraf rendah lagi hina itu (layak disembah dan dianggap sebagai anak-anak perempuan Allah)?
Surah An-Najm 53:19-20
Maka, Nabi Muhammad S.A.W diutus untuk menyempurnakan dan memperbaiki ajaran tauhid yang telah dirosakkan oleh umat terdahulu. Konsep tauhid ataupun Tuhan hanya Satu ini sebenarnya sudah pun berakar umbi lama di dalam sejarah peradaban manusia.
Tauhid
Ada bebrapa agama di dunia yang masih mempunyai bayang-bayang ke-Esaan Tuhan walaupun telah tercemar dengan konsep lain yang mengaitkan benda lain dengan sifat Tuhan yang Satu, seperti anak Tuhan dan sebagainya.
Agama Majusi contohnya, sering dilihat oleh orientalis barat sebagai agama monotheistik tertua di dunia dan menjadi asal kepada terciptanya agama Yahudi (Jewish), Sabi’in (Sabians / Mandaenite), dan juga Nasrani (Kristian).
Hakikatnya, kesemua agama ini adalah hasil daripada kepesongan yang dilakukan oleh orang-orang terdahulu terhadap agama tauhid yang diturunkan oleh Allah dan disampaikan oleh rasul-rasul terdahulu. Firman Allah tentang mereka:
Bahawasanya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi, dan orang-orang Saabiein, dan orang-orang Nasrani, dan orang-orang Majusi, serta orang-orang Musyrik, sesungguhnya Allah akan memutuskan hukumNya di antara mereka pada hari kiamat, kerana sesungguhnya Allah sentiasa Memerhati dan Menyaksikan tiap-tiap sesuatu.
Surah Al-Hajj 22:17



Al-Ilah (The God)
Kata Allah berasal daripada gabungan dua perkataan dalam bahasa Arab: “al-“ dan “ilah”.[1]
Kata ‘al-‘ adalah kata penentu khusus dalam bahasa Arab, sama seperti ‘the’ dalam bahasa Inggeris, yang menunjukkan sesuatu itu bersifat spesifik., manakala “ilah” bermaksud “tuhan” atau “sesuatu yang memiliki kekuatan luar biasa”. Dalam konteks bahasa Semitik, istilah ini merujuk kepada kuasa yang berada di luar jangkauan dan kebolehan manusia, iaitu kuasa ketuhanan. Sekolah tatabahasa Kufah pula terkenal dengan pandangannya bahawa “Allah” adalah singkatan daripada “al-ilāh”, yang bermaksud “tuhan itu”.[2]
Sebelum kemunculan Islam, istilah “al-ilah” telah digunakan oleh masyarakat Arab untuk merujuk kepada tuhan yang paling agung di kalangan dewa-dewa mereka. Kalimah ini juga digunakan oleh penyajak Arab beragama Kristian di dalam puisi-puisinya berselang seli antara kalimah Al-Ilah dan Allah.[2] Setiap dewa lain mempunyai nama tersendiri, tetapi “al-ilah” menjadi istilah umum untuk dewa tertinggi. Lama-kelamaan, perkataan ini disingkatkan menjadi “Allah”, yang terus digunakan hingga kini. Penting untuk difahami bahawa pada zaman tersebut, penggunaan istilah ini tidak merujuk kepada monoteisme seperti dalam Islam, tetapi lebih kepada konsep politeisme.
Walaubagaimanapun, ia tidaklah menghairankan kerana memang Al-Quran sering berhujah bahawa orang-orang terdahulu sering menyukutukan Allah dengan tuhan-tuhan palsu yang lain seperti mana disebutkn di dalam Surah An-Najam di atas. Malahan, jika ditanya kepada mereka siapa yang menciptakan alam ini mereka akan menjawab Allah.
Jadi kewujudan kalimah Allah di sisi dewa-dewa lain bukanlah satu keanehan.
Kesimpulan
Beriman kepada Allah adalah adalah merupakan asas dalam membentuk kepercayaan yang kukuh untuk menjadi seorang Muslim sejati. Ia adalah merupakan tiang yang pertama di dalam rantaian keimanan di dalam rukun ini di mana segalanya bermula dari Allah. Penciptaan segala kejadian yang berada di langit dan di Bumi jika difikirkan secara logik dan saintifik tidak akan dapat menolak hakikat bahawa alam semesta ini ada penciptanya.
Menolak kewujudan Tuhan akan menyebabkan dirinya berada di dalam kesesatan yang jauh dan sangat nyata. Hidupnya akan terkapai-kapai tanpa pedoman dan kebahagiaan yang mungkin dikecapinya hanyalah kepalsuan yang akan menjadikannya semakin jauh dari tujuan kita diciptakan.
Hendaklah kita kembali kepada Allah dan beriman kepada-Nya.
Teologi Pembelaan Isu Mukjizat
Asas Kepercayaan | Rukun Iman | Rukun Islam | Al-Quran | Sejarah
Rujukan:
- Dr. Ng, K. W. (2008, February). The semantics of the word Allah. KrisisPraxis. Retrieved December 14, 2024, from https://krisispraxis.com/archives/2008/02/the-semantics-of-the-word-allah/
profil penulis: https://berkleycenter.georgetown.edu/people/ng-kam-weng - Sinai, N. (2019). Rain-Giver, Bone-Breaker, Score-Settler: Allāh in Pre-Quranic Poetry. Atlanta, GA: American Oriental Society.
profil penulis: https://www.ames.ox.ac.uk/people/nicolai-sinai - Discovery Institute. (n.d.). What is intelligent design? Retrieved December 14, 2024, from https://www.discovery.org/v/what-is-intelligent-design/
profil penulis: https://www.discovery.org/p/meyer/






